Malaysia Oversight

‘Bolehkah tribunal hak asasi siasat semula kematian Adib, Beng Hock, Zara?’

By MkiniBM in July 30, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


PARLIMEN l Ahli-ahli parlimen merentasi parti mendesak supaya memberi penjelasan sama ada kes kematian berprofil tinggi yang melibatkan institusi awam dan jurang kebertanggungjawaban sistemik boleh disiasat semula oleh tribunal khas yang dicadangkan untuk menangani isu dan pelanggaran hak asasi manusia.

Secara khusus, Teresa Kok (PH-Seputeh) mempersoalkan sama ada tribunal itu kelak dapat menyiasat semula kematian tragik Teoh Beng Hock pada tahun 2009, yang ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM , di Shah Alam.

c4e3b2cca0c845c274aa9e29d7d34367
Teresa Kok (PH-Seputeh)

“Kes pelanggaran hak asasi manusia kebiasaannya melibatkan salah laku jenayah, seperti dalam kes Teoh yang kini telah diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’.

“Sekiranya tribunal hak asasi manusia ditubuhkan, adakah keluarganya boleh membuat rayuan supaya kes itu dibicarakan semula?” soalnya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Kok turut bertanya jika boleh menjamin bahawa syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memperbaiki kelemahan sistemik akan dilaksanakan menerusi tribunal tersebut.

Masih di peringkat kajian

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran mengesahkan bahawa pelaksanaan syor dan dapatan Suhakam oleh tribunal sedang diteliti dari segi kebolehlaksanaan dan perundangan.

e172f1542a6799d8ea95ef32047f1594
M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat)

Meskipun Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) bersetuju dengan gesaan agar tribunal menyiasat kematian Teoh, dia berkata masih terlalu awal untuk memberi pengesahan kerana kerangka, asas dan parameter tribunal masih belum ditentukan.

Perspektif syariah turut diambil kira

Dalam soalan tambahan, Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) turut membangkitkan kes Teoh, serta kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim dan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Dia meminta penjelasan bagaimana keputusan tribunal dalam kes-kes sebegini akan berbeza daripada dapatan inkues, dan meminta jaminan bahawa tribunal itu tidak akan bercanggah dengan prinsip dan kedudukan agama rasmi negara.

0ab0e2cbac6dc8cdc2a8ad02338af5e4
Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat)

Menjawab soalan itu, Kulasegaran memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan pada Jun lalu, akan turut mengambil kira pandangan daripada perspektif syariah.

“Sekiranya tribunal telah diwujudkan sebelum ini, saya percaya siasatan sudah pun dijalankan,” katanya, dipercayai merujuk kepada kes-kes yang dibangkitkan oleh Mumtaz.

Terdahulu, dia memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kajian kebolehlaksanaan untuk menubuhkan tribunal hak asasi manusia telah bermula dan dijangka siap pada Oktober 2025.

Kematian berprofil tinggi

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada exco ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di ibu pejabat SPRM di Plaza Masalam, Shah Alam pada 2009.

Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 memutuskan bahawa Teoh membunuh diri akibat tekanan siasatan secara agresif.

Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya berpunca atau didorong oleh perbuatan menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM sendiri.

bcf3bc07df6bad12582757b8d8cfbb6b

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyiapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan. Namun, pada Mei tahun ini, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.

Sementara itu, Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada November 2018.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada perbuatan jenayah oleh lebih dua individu yang tidak dikenali.

Sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat kematiannya telah mengemukakan laporan akhir kepada kerajaan pada Ogos 2022.

a6174617ba352af6ff94914c800a7cfe

Zara pula, pelajar tingkatan satu di Papar, Sabah, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada awal pagi 17 Julai lalu.

Keluarganya menimbulkan keraguan terhadap punca kematian serta dakwaan cubaan pihak berkuasa untuk menutup kes itu. Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan polis.

Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali



Source link