Pada era kini, ramai yang sudah semakin peka mengenai amalan gaya hidup sihat terutamanya daripada segi penjagaan pemakanan dan kesihatan tubuh badan.
Mana tidaknya, gaya hidup sihat juga menjadi salah satu penyumbang mengekalkan tahap kesihatan mental pada aras yang terbaik terhadap setiap individu.
Seperti pelakon, Norreen Iman, sebelum ini dirinya lantang menyebarkan kesedaran mengenai cara untuk menghargai diri sendiri atau body positivity tanpa mengira bentuk badan seseorang.
Namun, dirinya kini sudah memasuki fasa untuk menjadi lebih sihat dengan mengamalkan sukan angkat berat supaya dapat mengekalkan keseimbangan kesihatan dari segi mental dan fizikal.
“Antara sebab saya mula rajin bersenam dan aktif dalam sukan angkat berat sekarang ini kerana mahu menjaga kesihatan mental. Bila mula menggerakkan badan, otak kita menjadi semakin cerdas.
“Lagipun umur saya sudah meningkat, jadi penting juga untuk saya mula menjaga kesihatan. I
“Ini kerana kerjaya saya sekadar buat konten di rumah dan tidak banyak bergerak. Jadi, bersenam adalah jalan yang terbaik,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Norreen, antara perkara yang membuatkan dirinya nekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan angkat berat kerana mahu kekal bertenaga di saat masih membesarkan cahaya matanya.
“Anak saya sudah mula membesar, saya tidak mahu kalau ada sebarang acara yang perlu saya hadir saya mudah rasa mengah dan kurang bertenaga. Dari situ terbit rasa malu dan rasa perlu elak dari menjadi obes sebab tidak seronok pun berbadan besar.
“Sebelum ini, saya selalu mengesyorkan body positivity kepada orang ramai tetapi sihat juga perlu. Kerana itu saya nekad untuk sihatkan badan,” kongsinya.
Mengakui untuk mengekalkan kehidupan yang lebih sihat bukanlah perjalanan yang mudah, namun Norreen positif usahanya tidak sia-sia selepas merasai perubahan ketara pada tubuh badannya.
“Pada mulanya kita memang akan berasa letih tetapi secara tidak langsung dapat mengeluarkan peluh lebih banyak. Saya rasa seolah dapat berfikir dengan lebih baik.
“Saya rasa setiap individu memang perlu mencari satu hobi yang boleh membantu menggerakkan badan mereka sebab aktiviti sebegini membantu menyihatkan jantung,” jelasnya.
Biarpun sukan angkat berat lazimnya dilakukan kaum lelaki, perkara itu bukanlah penghalang untuk pelakon drama Seribu Tahun itu menyebarkan kesedaran baharu untuk kaum wanita.
“Saya suka apabila badan saya tampak sasa. Pada saya itu satu pencapaian atas usaha yang saya cuba lakukan. Walaupun mereka di media sosial bebas untuk berkata apa sahaja, tetapi saya tidak ambil kisah mahupun terasa hati.
“Lagipun perkara itu tidak memberikan sebarang impak positif kepada perubahan yang saya sedang usahakan. Kalau mahu mencuba aktiviti yang saya lakukan, mereka boleh cuba.
“Tetapi jika aktiviti memberikan perubahan yang baik, tidak salah untuk kita lakukannya. Ketepikan apa yang mereka hendak kata, kita teruskan apa yang kita suka buat. Kental atau tidak saja,” katanya.
Norreen berharap menjelang 2026, dia berjaya mencapai berat badan sasarannya, turun sehingga 85kg meskipun usahanya itu perlu dengan pengambilan supplemen.
“ Sebelum ini, berat saya 103 kg. Selepas aktif membuat aktiviti angkat berat dan bersenam, berat saya sudah 98 kg dalam masa sebulan.
“Tetapi saya juga mengambil supplemen untuk membantu saya kurangkan keinginan untuk minum atau makan benda manis. Pada saya, gula itu sangat tidak bagus untuk diet,” ujarnya.






