Malaysia Oversight

BNM beri amaran risiko baharu

By Utusan in August 14, 2025 – Reading time 2 minute
BNM beri amaran risiko baharu


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan bahawa perubahan struktur besar sedang membentuk semula sistem monetari dan kewangan global, justeru memerlukan penyesuaian pantas bagi mengelak risiko baharu yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peranan tradisional bank pusat kini semakin tertekan berikutan cabaran seperti pemisahan ekonomi global, perubahan iklim serta pendigitalan pesat sektor kewangan.

“Kita berkumpul pada ketika transformasi besar sedang berlaku dalam sistem monetari dan kewangan global. 

“Ini di mana batasan mandat bank pusat yang sekian lama terbentuk kini diuji oleh perubahan struktur yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya pada pelancaran Tun Ismail Ali Centre of Excellence (TIACOE) di Asia School of Business (ASB) di sini. 

Beliau memberi amaran kegagalan membuat persediaan rapi boleh menyebabkan bank pusat “terkedu” apabila berdepan ancaman baharu yang berpotensi mengganggu sistem dan dasar sedia ada.

Mengimbas kata-kata Gabenor pertama bank pusat, Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, Abdul Rasheed berkata, bank pusat beroperasi ‘dalam dunia yang tidak sempurna’ menggunakan alat yang kesannya tidak difahami sepenuhnya, selain perlu membuat keputusan dalam suasana ketidaktentuan.

“Kata-kata ini kekal relevan hingga kini kerana mengemudi landskap ekonomi baharu menuntut pengamal bank pusat mempunyai pertimbangan yang baik, daya tahan serta kemampuan menyesuaikan diri,” jelasnya.

Abdul Rasheed turut menegaskan komitmen BNM terhadap penggubalan dasar berasaskan bukti serta peranannya dalam perbincangan dasar global melibatkan isu kritikal seperti perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI), kewangan dan perubahan dalam sistem monetari antarabangsa.

Sementara itu, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, era kini dicirikan oleh pelbagai faktor pengganggu termasuk perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan kemajuan teknologi pesat yang memberi kesan mendalam kepada ekonomi.

“Justeru, membina ketahanan dan mengekalkan kestabilan monetari serta kewangan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini untuk memastikan kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN





Source link