PRN SABAH | BN yakin sokongan pengundi muda yang semakin matang dan tidak terikat kepada mana-mana parti akan menjadi faktor penentu kemenangan seseorang calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata golongan belia kini dilihat lebih terbuka serta membuat pilihan berdasarkan keperluan dan masa depan mereka, bukan lagi berasaskan kesetiaan kepada parti tertentu.
“Mereka (belia) tidak ada ketaatan pada mana-mana parti. Kalau PRU ke-15 dulu BN banyak kalah kerana pengundi muda, tetapi dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Nenggiri, Mahkota, Ayer Kuning dan Pelangai, belia merupakan golongan pengundi yang banyak menyokong BN.
“Kemenangan kita majoriti besar disebabkan oleh sokongan pengundi muda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa pusat daerah mengundi (PDM) di Kimanis hari ini.
Mohamad berkata sokongan pengundi muda menggambarkan perubahan sikap golongan itu yang mula melihat kemampuan kerajaan dalam menjamin masa depan mereka termasuk melalui pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung.
Katanya lawatan ke beberapa kawasan dewan undangan negeri (DUN) termasuk Putatan, Membakut dan Bongawan menunjukkan semangat jentera BN di peringkat akar umbi berada pada tahap terbaik menjelang PRN Sabah tidak lama lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah ialah pada 15 Nov ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
Undi18 yang berkuat kuasa pada Dis 2021 membolehkan warganegara berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, sekali gus menjadikan PRN Sabah ke-17 medan ujian pertama untuk menilai corak dan kecenderungan pengundi muda dalam menentukan hala tuju politik negeri terbabit.
– Bernama






