Malaysia Oversight

BN Sabah mungkin ubah sasaran kerusi hasil rundingan dengan PH

By MkiniBM in November 2, 2025 – Reading time 2 minute
BN Sabah mungkin ubah sasaran kerusi hasil rundingan dengan PH


Rundingan pembahagian kerusi dengan PH mungkin menyaksikan Sabah mengurangkan sasaran awal mereka untuk bertanding di 48 kerusi, kata pengerusinya Bung Moktar Radin.

Dipetik oleh The Borneo Post, Bung Moktar berkata rundingan pembahagian kerusi dengan PH kini berada di peringkat akhir dengan hampir 70 peratus sudah dimuktamadkan.

“Masih ada beberapa kerusi yang perlu dimuktamadkan antara dan PH.

“Insya-Allah, saya akan bertemu dengan pemimpin parti pada 3 atau 4 Nov ini untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya yang ditemu selepas menghadiri program Sentuhan Kasih Desa @Libaran semalam.

Bung Moktar turut berkata kelewatan memuktamadkan pembahagian kerusi berlaku disebabkan oleh kedua-dua pihak berhasrat untuk bertanding di beberapa kawasan yang sama.

Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 daripada 73 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang ada di negeri itu.

Dalam PRN Sabah ke-16 lalu, BN Sabah memenangi 16 kerusi sebelum membentuk gabungan dengan PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menentang Warisan Plus yang disertai PH.

Pada Ogos lalu Ketua Penerangan Sabah, Suhaimi Nasir, berkata persefahaman yang dicapai dijangka tidak akan menyaksikan pertembungan antara di BN dan PH di mana-mana kerusi.

Pada masa sama, PH juga tidak dijangka berhadapan secara langsung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, The Borneo Post semalam melaporkan Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata gabungan itu akan bertanding di semua kerusi yang telah dirunding dan dipersetujui bersama PH tanpa mengira sebarang tuntutan bertindih daripada komponen Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang merupakan salah satu komponen PH.

Masidi berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap rancangan Upko yang dilapor berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi milik GRS, termasuk Limbahau, Kiulu dan Tamparuli.

“Upko sebahagian daripada PH. Berdasarkan itu, kami harap semua pihak menghormati perjanjian yang telah dicapai.

“Jika tidak, mereka akan membuka ruang kepada keadaan ‘siapa cepat, dia dapat’ yang lebih luas,” katanya selepas mewakili ketua menteri sementara, Hajiji Noor, pada satu majlis di Kota Kinabalu semalam.

“Bagi kami di GRS, kerusi yang telah dirunding bersama PH akan menjadi tempat kami meletakkan calon, tanpa mengira siapa lagi yang mahu bertanding,” tambahnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Upko, Nelson Angang, mengumumkan hasrat parti itu untuk bertanding di Limbahau, manakala Upko Tuaran mencadangkan presiden kehormat mereka, Wilfred Madius Tangau, untuk menjadi calon di Tamparuli.

Kerusi Kiulu pula dicadang untuk ditandingi seorang lagi pemimpin Upko bahagian, Joisin Romut.

Ketika ini, kerusi DUN Limbahau disandang oleh Juil Nuatim dari GRS, manakala Tamparuli dan Kiulu masing-masing disandang oleh Jahid Jahim serta Joniston Bangkuai, kedua-duanya wakil PBS.

[Baca berita asal]



Source link