Tinjauan firma penyelidikan Ilham Centre mendapati BN tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada pilihan raya kecil, esok.
Namun, persoalan besar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, adalah sejauh mana majoriti tinggi seperti yang disasarkan oleh kerajaan negeri mampu dicapai.
“BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN ini.

“Persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama PH dalam kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi (18 ribu undi) yang diumumkan Menteri Besar Perak (Saarani Mohamad).
“Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” kata Ilham Centre dalam satu kenyatan hari.
Saarani sebelum ini meletakkan sasaran 18,000 undi majoriti – satu angka yang dilihat oleh ramai penganalisis sebagai terlalu tinggi dalam konteks semasa.
“Majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” kata Iham Centre dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, suasana kempen yang tenang dan pendekatan “kempen senyap” menyebabkan mood pengundi sukar dibaca, terutama dalam kalangan anak muda dan pengundi luar kawasan.

Kelesuan politik di kalangan golongan muda juga merupakan satu cabaran besar pada PRK kali ini.
Namun, katanya, perpindahan undi dari penyokong Pakatan Harapan (PH) kepada BN dilihat berjalan lancar di kalangan pengundi Melayu dan Orang Asli, namun di kalangan pengundi Cina, ia masih menunjukkan sikap skeptikal.
“DAP dan MCA terpaksa bergerak secara berasingan bagi meraih semula keyakinan kumpulan ini.
“Dalam kalangan pengundi Melayu pula, Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai cabaran utama BN, khususnya di kawasan pusat daerah mengundi (PDM) yang mereka kuasai semasa PRU-15,” kata Ilham Centre.
Menurut badan penyelidikan itu, fokus utama PN adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15 lalu.
Ia berkata, jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar.

“PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat PDM majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi Umno.
“Justeru, PRK kali ini menjadi medan penting menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada PRU15 November 2022, Ishsam yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
Ayer Kuning ialah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Tapah.

PRK esok enyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (PSM).
Ini adalah PRK ke-11 selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).