CYBERJAYA: Jalinan kerjasama yang terjalin dalam blok ASEAN bukan sahaja dilihat sebagai simbol kerjasama antara negara serantau, sebaliknya menjadi platform berkesan dalam menyelesaikan krisis dan memupuk keamanan di Asia Tenggara.
Berucap sempena sambutan Hari ASEAN 2025, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengimbau kembali sejarah penubuhan blok itu pada 1967 yang mana dunia dilanda persaingan kuasa besar dan negara-negara baharu merdeka di rantau itu berdepan kerentanan.
Katanya, lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand mengambil langkah berani berhimpun di Bangkok dengan berikrar mengemudi cabaran dunia bersama.
“ASEAN lahir dalam dunia yang rapuh pasca perang, sebagai satu eksperimen berani untuk membawa damai dan kerjasama,” katanya.
Menurut beliau, sejak itu ASEAN berkembang menjadi organisasi unik dengan kepelbagaian yang menjadi penanda aras baharu dalam tadbir urus global.
Katanya, Malaysia sentiasa menempatkan ASEAN sebagai teras diplomasi luar negara melalui semangat konsensus dan matlamat bersama demi Asia Tenggara yang inklusif serta lestari.
Menjelang pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045, Mohamad menegaskan, pelan hala tuju 20 tahun itu akan membentuk rantau yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpusatkan rakyat.
Beliau turut menekankan usaha berterusan ASEAN menangani isu Myanmar melalui pendekatan berprinsip dan praktikal, termasuk penglibatan kemanusiaan, advokasi gencatan senjata yang diperluas serta cadangan pelantikan utusan khas tetap bagi menangani krisis berpanjangan.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut memanggil pihak berkepentingan untuk rundingan di Putrajaya, sekali gus berjaya memeterai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang kini sedang dilaksanakan dan dipantau,” katanya.
Jelasnya, inisiatif itu membuktikan kemampuan ASEAN bertindak serta nilai tambahnya sebagai platform penyelesaian konflik.
“Seperti yang diyakini para pengasas kita, keamanan bukan ideal pasif, sebaliknya perlu diusahakan secara berterusan.
“ASEAN berulang kali membuktikan kesediaan dan keupayaan itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohamad juga akan mengadakan lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September depan bagi membincangkan perkembangan politik terkini negara itu sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan pada Oktober depan.
Mohamad berkata, lawatan itu akan dilakukan bersama rakan sejawat dari Thailand, Indonesia dan Filipina bagi membincangkan perkembangan politik terkini negara itu.
Jelasnya, langkah membawa ketiga-tiga negara anggota itu adalah bagi memastikan kesinambungan usaha ASEAN terhadap isu Myanmar, khususnya memandangkan Filipina bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026.
“Dulu mereka pergi sendiri-sendiri, tetapi kali ini kita pergi bersama. Kita mahu kesinambungan supaya pengerusi yang akan datang tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak terputus usaha yang sedang dijalankan.
“Antara perkara utama akan dibincangkan ialah pelaksanaan gencatan senjata yang dijanjikan pihak Myanmar serta komitmen negara itu untuk mengadakan pilihan raya umum selepas pembubaran pentadbiran junta dan pengisytiharan tamat darurat di peringkat nasional,” katanya.
Jelas Mohamad, Myanmar kini ditadbir State Security and Peace Council, namun kuasa tertinggi masih dipegang National Defence and Security Council (NDSC).
“Mereka sudah nyatakan dengan jelas pilihan raya akan diadakan, sebab itu darurat nasional tidak disambung.
“Tetapi masih ada 63 kawasan yang diletakkan di bawah darurat oleh NDSC. Saya mahu dapat gambaran jelas sama ada pilihan raya ini benar-benar menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN