Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan sebarang rundingan berhubung isu pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur perlu dibuat terus dengan pihak pemaju, dan bukannya kerajaan.
Zaliha berkata, kerajaan hanya memudah cara dari segi syarat pembangunan serta urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kalau nak berbincang tentang pengosongan, ia sudah ditentukan mahkamah. Itu bukan keputusan kerajaan.
“Jadi kalau penduduk mahu bincang lagi, mereka kena rujuk kepada pemaju, sebab tanah itu sudah menjadi milik pemaju,” katanya dalam sidang media khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengenai isu penduduk Kampung Sungai Baru.
Zaliha berkata demikian mengulas kesediaan jawatankuasa hak penduduk kampung berkenaan untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan persekutuan.
Selepas kontroversi operasi pengosongan sebahagian rumah penduduk di Kampung Sungai Baru, semalam, jawatankuasa hak penduduk kampung berkenaan menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan persekutuan.
Sementara menunggu proses itu, mereka menuntut operasi pengosongan kawasan diberhentikan sementara.
Peguam mereka N Surendran dalam sidang medianya hari ini berkata tidak mungkin perbincangan akan berjalan dengan baik sekiranya pada masa yang sama tindakan pengosongan masih berjalan.
Zaliha berkata proses pengosongan yang dijalankan adalah berdasarkan keputusan mahkamah dan dilaksanakan oleh pihak bailif (pegawai yang menyampaikan writ dan saman, membuat tangkapan, dan memastikan hukuman dijalankan).


Katanya, sebahagian penduduk yang bersetuju berpindah telah ditawarkan penempatan sementara, termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), dengan bayaran sewa ditanggung pemaju sehingga projek perumahan baharu siap dibina.
“Saya difahamkan, mereka yang setuju pindah ke rumah PPR, sewaan itu ditanggung oleh pemaju sehingga selesai, sehingga rumah kekal yang dibina itu siap. Begitu sekali (komitmen pemaju),” jelasnya.
Projek pembangunan di Kampung Sungai Baru sebelum ini berdepan penangguhan ekoran bantahan sebahagian penduduk yang enggan berpindah, manakala yang lain telah menerima tawaran pampasan serta penempatan sementara.
Semalam, berlalu kekecohan menyebabkan kepala dan muka Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berlumuran darah akibat dibaling batu.