Malaysia Oversight

Bila ‘setia kawan’ jadi alat tutup mulut

By MkiniBM in July 22, 2025 – Reading time 4 minute
Bila ‘setia kawan’ jadi alat tutup mulut


Setiap kali bergegar isu panas, ada sahaja suara sumbang yang pantas melaungkan ia sebagai keputusan berdasarkan tanggungjawab bersama. Ia seperti mantera sakti yang mesti dipegang semua anggota kabinet. Bukan sekadar kabinet, malah anggota biasa parti pun kena angguk. 

Kalau tidak bersetuju, atau mengutarakan sikit irama kritikal, cepat-cepat akan diheret ke mahkamah ‘disiplin’ kerana ingkar.

Tetapi, siapa yang betul-betul faham dan berani menyoal balik makna sebenar konsep ini? Majoriti menelannya tanpa kunyah, sedangkan dalam dunia politik, tanggungjawab bersama sebenarnya sangat mudah bertukar jadi panji ketaatan membuta tuli, bukan lambang kematangan.

Kalau diimbau sejarah Perang Khandak, ia bukan kisah tipikal “jangan lawan majoriti”. Ia cerita kerjasama dengan segala perbezaan dalam satu pasukan, diperdebatkan secara syura. 

Beralih pula ke kisah Hamzah al-Asad, panglima perang yang pernah dilucut jawatan demi keputusan kolektif. Hamzah tidak memberontak, dia setia. 

Tetapi siapa kata dalam tentera , ketika pemerintahan Umar Al-Khatab tiada perbezaan pandangan, tiada debat sengit sebelum keputusan dibuat?

Bezanya dengan kita, mereka berani cakap secara berdepan. Ada majlis syura, beradu hujah, bukan bisik-bisik belakang. Kolektif mereka lahir dari konflik idea, bukan penyeragaman suara.

Tetapi di Malaysia, segala “perbezaan” mesti dibawa diam-diam. Siapa buka mulut, alamatnya lekat label tak setia, pengkhianat atau mahu sabotaj parti.

Terkadang fikir, kalau ada majlis syura zaman sekarang, adakah anggota-anggota parlimen atau majlis kepimpinan parti benar-benar berani melawan hujah presiden atau perdana menteri? Atau semua setakat tunggu masa untuk salam dan swafoto?

Dalam dewan lain, di luar lain cerita

Ironinya betulkah kita amalkan tanggungjawab bersama atau sebenarnya cuma “tanggungjawab kepada bos”? Berapa ramai anggota parti yang di kedai kopi maki hamun bos sendiri, tetapi bila mesyuarat parti, duduk lurus, jari atas meja, langsung tak berani soal dasar?

Inilah hipokrasi budaya politik kita. Bila di luar, semua keras kepala. Dalam forum rasmi, semua jadi makhluk bisu. Bila rakyat tanya: kenapa dasar tidak dibawa ke town hall (perbincangan umum) dahulu? Atau kenapa pelantikan itu tak telus? 

Jawapan standard: “Itu keputusan kolektif.”

Jadi, tanggungjawab bersama hari ini hanyalah formula mudah, angguk-angguk, mata tunduk ke bumi.

Bila ada skandal, salah guna kuasa atau dasar tak masuk akal, hampir tiada menteri letak jawatan. Tidak ada “maruah kolektif” untuk pertahankan rakyat. 

Sebaliknya, tanggungjawab bersama hanya hidup bila menjawab secara selamat apabila sesuatu perkara itu gagal di mata rakyat.

Berani bertanya 

Kalau semua jadi pak angguk, parti itu hanya rumah cermin, bukan rumah debat. Yang kita perlukan sekarang, bukan “kolektif setuju”, tetapi “kolektif berani berbeza”.

Di negara maju, melawan arus dalam parti diagungkan, pemimpin disoal, ada kritikan terbuka, pemimpin pasti tidak tidur lena kalau dasar dipertikai. Tetapi di Malaysia berbeza. Berbeza fikrah itu dosa.

Bayangkan kalau dalam Perang Khandak, jika Nabi Muhammad terus menafikan siapa saja yang bawa idea menggali parit? Barisan pertahanan Madinah mungkin lumpuh.

Jadi, siapa sebenarnya menikmati tanggungjawab bersama versi Malaysia?

1. Bos-bos parti. Mereka untung. Kalau anggota di bawah buat silap, boleh dihukum. Kalau pemimpin atasan buat silap, boleh tutup dengan alasan kolektif.

2. Rakyat biasa? Mohon maaf, kita hanya dapat drama politik. Politik keberanian akan  menjadi semakin sayup, suara orang biasa makin terpadam.

Semua ketua parti akan melaungkan parti mereka paling demokrasi, tetapi keputusan, dasar mahupun undi dalam parti selalunya diatur oleh mereka yang paling “berkuasa”, bukan siapa paling ikhlas berjuang atau demi kepentingan rakyat. 

Kerana itu setiap parti punya masalah pemimpin pelapis, kerana orang muda yang bijak dan radikal pastinya tidakkan menunggu lama sebelum menyampah dan cabut lari.

Kalahkan budaya angguk

Politik Malaysia perlukan hala tuju baru. Jangan takut untuk bertanya. Kalau tidak, tanggungjawab bersama kekal jadi laungan picisan yang yang berkepentingan peribadi. Semua perlu faham, dalam melawan masalah dalam negara mahupun parti, suara kecil kadang-kadang jauh lebih tulus dari suara majoriti yang penuh kepalsuan.

Sudah tiba masanya parti buka platform mengkritik berfakta, bukan kritikan di kedai kopi, atau tembak dalam group WhatsApp. Biarkan suara pelik, suara berbeza, suara pedas hidup, dan punya saluran yang boleh didengar dan dipertimbangkan.

Pemimpin yang rasa panas telinga bila ditegur itu tanda sayang, bukan tanda benci. Negara mahupun parti politik perlu menggalakkan pertembungan idea sebelum sesuatu keputusan diambil—biar keluar peluh sedikit, daripada berpeluh seluruh negara menanggung akibat nanti.

Tanggungjawab bersama bukan alasan jadi pengecut. Ia patut jadi asas keberanian bertanggungjawab—bukan pada bos, bukan pada pangkat, tetapi pada seluruh negara. Kalau para khulafa dahulu dan sahabat mampu berlawan idea sebelum setia, kenapa ahli parti hari ini mesti diam saja?

Jangan jadi generasi penakut. Lawan budaya angguk. Suara berbeza itulah vaksin sebenar penyakit politik sempit. Kalau parti nak hidup lama, jangan sekat suara berani, tetapi bela mereka.

Pemimpin yang betul-betul yakin dengan keputusan mereka tidak akan takut dengan kritikan. Mereka akan mengalu-alukan perbezaan pandangan, dan pastinya akan akan adapt bila keadaan memerlukan.

Tanggungjawab bersama sepatutnya bermaksud kebertangungjawaban bersama kepada rakyat, bukan kesetiaan membuta tuli kepada kepimpinan parti. Jika kita gagal membezakan perkara ini, kita akan terus terperangkap dalam kitaran sederhana.

Jadi di masa akan datang apabila terdengar seseorang bercakap mengenai tanggungjawab bersama, tanya mereka tanggungjawab kepada siapa? Negara atau rakyat? Kalau jawapan diberikan kepada pemimpin, pastinya dia tidak layak untuk menjadi wakil rakyat.


AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI adalah mantan ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), mantan ketua pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir  (IPDM) serta penulis buku Managing Malaysia as Tun Mahathir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link