Malaysia Oversight

Bila dana kandungan digital disalah guna, industri merana

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Industri filem tempatan kini berdepan satu realiti pahit yang semakin membarah. 

Lambakan penerbit baru muncul bukan atas semangat seni atau kepakaran produksi, tetapi semata-mata kerana peluang mendapatkan geran. Salah satunya ialah geran Dana Kandungan Digital (DKD). 

Keghairahan untuk menghidupkan kembali sektor ini membuka satu lagi babak hitam: lambakan penerbit palsu yang muncul bukan kerana semangat seni, tetapi kerana peluang untuk mendapatkan dana percuma. 

Mereka bukan penggiat sebenar industri, jauh sekali memiliki pelaburan sendiri. Apabila semuanya datang daripada dana luar, mutu menjadi korban pertama.

Maka wajar kita bertanya – adakah sistem ini sedang menyuburkan industri atau sebenarnya sedang membarahkannya?

Ramai dalam kalangan mereka menghasilkan karya bukan untuk penonton, tetapi sekadar memenuhi syarat dokumentasi. Dana diterima bukan untuk membina ekosistem filem yang mampan, sebaliknya digunakan sebagai pintu belakang untuk keuntungan pantas. 

Hasilnya, industri dipenuhi karya hambar yang gagal meraih kutipan dan lebih malang lagi, gagal membina reputasi seni negara. Lebih parah, ada penerbit yang tanpa segan silu memasukkan sebahagian besar dana geran ke dalam poket sendiri. 

Bukan sekadar menyeleweng bajet, mereka juga memilih pelakon yang tidak bemutu, semata-mata kerana hubungan peribadi atau kos rendah. Produksi dilakukan secara sambil lewa tanpa mengambil kira mutu skrip, pengarahan mahupun teknikal. 

Akhirnya, filem yang terhasil bukan sahaja gagal menarik penonton, malah mencemarkan imej industri secara keseluruhan. Sikap seperti ini bukan sahaja merugikan wang rakyat, malah membunuh peluang sebenar untuk karya bermutu mendapat tempat di pasaran.

f16bac15e492f33655ca4659396369cc

Lebih membimbangkan, terdapat individu yang mengambil kesempatan membuka pelbagai syarikat dengan nama berbeza. Mereka menggunakan nama ahli keluarga dan kenalan semata-mata untuk menggandakan peluang mendapatkan geran. 

Seorang mengawal berbilang entiti, masing-masing mendapat tajaan, dan akhirnya menghasilkan projek-projek gagal yang tidak mampu menembusi pasaran tempatan apatah lagi antarabangsa.

Sistem ini menjadi tidak terkawal apabila syarikat yang langsung tiada rekod penerbitan diberi dana berjuta-juta ringgit, sedangkan syarikat berpengalaman terus terpinggir. Malah ada yang gagal menyusun bajet dengan betul dalam sesi pembentangan, tetapi masih mendapat kelulusan. Ini membuka persoalan besar tentang kebertanggungjawaban institusi yang meluluskan dana tersebut.

Tidak semua yang menerima dana itu culas, memang wujud segelintir yang berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya mencipta impak positif. Namun, kejayaan ini adalah minoriti. Majoritinya tenggelam tanpa hasil, menghabiskan berjuta ringgit dalam senyap tanpa sebarang pulangan kepada industri atau negara.

Punca kegagalan sistem ini bukan sahaja terletak kepada penerima dana, tetapi juga pada pihak yang meluluskan. Pengurusan Finas bertukar ganti terlalu kerap dan setiap kali berlaku perubahan tampuk kepimpinan, hala tuju, fokus dan keutamaan turut berubah. 

Setiap CEO membawa pasukan sendiri, visi sendiri, dan akhirnya banyak perancangan tergendala atau dibatalkan separuh jalan. Ketika seorang pemimpin cuba membina, yang lain pula datang hanya untuk menghabiskan dana sebelum letak jawatan. Akibatnya, industri hilang arah, penuh ketidaktentuan, dan terus lemas dalam putaran ketidakcekapan.

Apa yang lebih mengecewakan, penilaian terhadap keberkesanan geran hampir tiada. Banyak filem yang menerima dana tidak memberikan sebarang pulangan atau impak. Penonton sendiri tidak tahu akan kewujudan filem-filem ini. Jumlah kutipan hampir sifar. Dalam keadaan ini, kita patut bertanya – ke mana wang itu pergi?

b30081513ce498c329ad60d10504d0b6

Lihat bagaimana negara seperti Indonesia berjaya membina industri filem tanpa sebarang geran . Mereka melabur sendiri, mencipta pasaran sendiri, dan berani mengambil risiko. Hasilnya, filem mereka bukan sahaja diminati rakyat sendiri, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. 

Malaysia sebaliknya masih bergantung kepada subsidi dan tajaan, tetapi hasilnya makin menurun saban tahun.

Geran tidak salah, tetapi mestilah diberikan kepada pihak yang benar-benar layak dan mempunyai wawasan jangka panjang. Ia bukan tiket untuk cepat kaya, tetapi peluang untuk meningkatkan mutu. Harus ada pemantauan ketat, audit yang telus dan penilaian berasaskan hasil. Jika tidak, dana hanya akan menjadi lubuk pembaziran.

Dana rakyat bukan untuk mengkayakan individu, tetapi untuk membina nilai. Geran tidak wajar dijadikan pendapatan tetap, tetapi pemangkin kepada penciptaan karya yang bermaruah. 

Jika kita benar-benar ingin memartabatkan seni filem tempatan, geran harus digunakan untuk memperkasakan nilai, bukan mengisi poket. Ia mesti memberi impak terhadap budaya, memperkenalkan warisan kita ke pentas antarabangsa dan menjadikan penerbit tempatan berani berdikari. 

Ketika industri negara lain sudah berdiri atas kaki sendiri, kita masih terperangkap dalam budaya meminta dan mengharap.

Sudah tiba masanya kita perbetulkan haluan. Wang rakyat bukan alat untuk percubaan rambang. Ia adalah amanah. 

Dan seni yang jujur tidak lahir daripada jalan pintas, tetapi daripada tekad untuk mencipta karya yang bermutu, berdaya saing dan mampu bertahan dalam sejarah.


MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link