Kementerian Pengangkutan berjaya mengumpul lebih RM24 juta menerusi bidaan nombor plat khas siri A___A yang diadakan dari 19 hingga 23 April lalu.
Bidaan nombor istimewa itu dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-79 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bidaan nombor plat A___A menjana hasil sebanyak RM24,022,793 kepada kerajaan.
Kata Loke, hasil bidaan itu akan digunakan untuk membiayai pelbagai inisiatif Kementerian Pengangkutan termasuk program MyLesen, program pertukaran topi keledar, FlySiswa, dan lain-lain.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu lagi, sebanyak 24,470 bidaan diterima kementerian dan daripada jumlah itu seramai 6,746 pembida berjaya mendapatkan nombor plat pilihan masing-masing menerusi sistem JPJeBid.
Bidaan tertinggi dalam siri itu ialah nombor plat A9A dengan nilai RM902,020; diikuti A11A (bernilai RM703,007) dan A8A (bernilai RM700,000). Dua lagi nombor plat dalam kelompok lima teratas ialah A7A (bernilai RM502,000) dan A2A (bernilai RM490,888).
Menurut Loke, nombor plat yang paling banyak ‘direbut’ ialah A51A yang mendapat 40 pembida; A101A (31 pembida); A8118A (29 pembida); selain A1881A dan A19A dengan masing-masing menarik 27 pembida.
“Minat yang luar biasa terhadap Siri A___A menunjukkan semangat rakyat terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang unik,” katanya.
Loke juga mengucapkan tahniah kepada semua pembida yang berjaya dan berterima kasih kepada semua yang telah menyertai inisiatif tersebut menerusi kemudahan JPJeBid.
Dia turut mengulangi komitmen JPJ untuk terus mempertingkat dan memperluas perkhidmatan digital kepada rakyat Malaysia.