KOTA KINABALU: Kes lima remaja yang didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan mula dibicarakan pada 9 Disember ini.
Tarikh-tarikh lain yang ditetapkan untuk perbicaraan ialah 10 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember ini.
Menurut kenyataan media oleh Timbalan Pendaftar, Cindy Mc Juce Balitus yang juga Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah Negeri Sabah, pihak pendakwaan telah menyerahkan 15 ikatan dokumen terhadap pasukan pembelaan tertuduh pertama dan 18 ikatan dokumen kepada setiap tertuduh kedua hingga kelima.
Terdapat lima lagi dokumen yang akan diserahkan kepada pasukan pembelaan tertuduh kanak-kanak pertama pada tarikh sebutan akan datang, 16 Oktober ini,” kata kenyataan itu.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja terbabit mengaku tidak bersalah atas tuduhan telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar antara pukul 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 oleh seorang penjamin tempatan.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia encephalopathy (HIE) pada 17 Julai lalu.
Kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah diberi kebenaran untuk menjadi pemerhati dalam kes tersebut.
Kebenaran tersebut diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus mengikut Seksyen 12(3)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 pada sebutan kes itu di sini hari ini.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Ram Singh yang ditemui selepas prosiding terbabit turut memaklumkan pihaknya telah menimbulkan isu membabitkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Ujarnya, beliau memohon Mahkamah Kanak-Kanak mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah itu
“Kita mengemukakan permohonan menghina mahkamah dan ia turut disokong wakil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Suhakam.
“Bagaimanapun, dalam isu ini, mahkamah menyatakan supaya kita menunggu sehingga AGC selesai. AGC juga mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie pada Rabu,” kata Ram.
Pada 22 September lalu, Mahkamah Koroner memerintahkan agar satu notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah dikeluarkan kepada Mohd. Shafie atas kenyataan yang dibuat berhubung inkues kematian Zara Qairina dalam satu majlis di Sandakan.
Pada ucapan yang turut disiarkan di platform Facebook, Mohd. Shafie menyatakan kematian Zara Qairina adalah satu pembunuhan dan mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.
Mohd. Shafie merupakan individu kedua yang dikenakan notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah berkaitan inkues kematian remaja terbabit.
Pada 10 September lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan notis serupa terhadap aktivis, Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din yang dalam hantaran di Facebook miliknya mempertikaikan keterangan Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu. – UTUSAN






