Perbicaraan kes bekas setiausaha politik kepada Hamzah Zainudin yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM350,000 akan bermula 25 Ogos ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hakim Rosli Ahmad mengekalkan tarikh perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir Al Syaed Mohamad itu dari 25 hingga 28 Ogos dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan pada 22 Ogos.
Pada perbicaraan hari ini, timbalan pendakwa raya Hazel Tan Jia Qi telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan pernyataan saksi pada 31 Julai lalu.
Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzakkir berkata pembelaan akan mengemukakan pernyataan di bawah Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebelum tarikh perbicaraan.
Pendakwaan akan memanggil 20 saksi.
Pada 23 Mei lalu Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan infrastruktur, pelayan, perisian dan radio pengguna Sistem RMPNet untuk Polis Diraja Malaysia.
Ia bernilai RM381.1 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas pada 4 dan 16 Dis 2020.
Sehari kemudian, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pula atas satu pertuduhan meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan sama di pejabat Nexuscorp di Seksyen 7, Shah Alam, pada awal Dis 2020.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes di Shah Alam telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
– Bernama