Malaysia Oversight

Biar kita berpijak di bumi nyata

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 4 minute
Biar kita berpijak di bumi nyata


ULASAN SUKAN | Apakah Peter Cklamovski dan Harimau Malaya sudah menyempurnakan tugasan awal mereka yang sebelum ini diragui komuniti bola sepak tanah air?

Berpandu kepada keputusan lima perlawanan pertama pengendali dari Australia itu dalam tempoh lapan bulan ini, jelas dia sudah membina barisan yang berpotensi melangkah lebih jauh.

Namun, ranjaunya masih jauh kerana skuad bola sepak negara kita belum menang apa-apa gelaran lagi. Kita hanya memenangi perlawanan kompetitif dan semuanya dihasilkan di bumi sendiri.

Dalam bahasa lain, hanya tiket secara merit ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi akan menjawab segala pertanyaan mengenai ‘kemajuan baru’ bola sepak kita.

Pencapaian terpuji yang disajikan setakat ini juga mungkin mencetus rasa bimbang kerana selepas ini harapan daripada peminat dan penyokong akan makin bertambah tinggi serta besar.

Senario seperti itu boleh mencengkam minda Cklamovski dan anak didiknya. Kita hanya berharap skuad sekarang akan lebih tabah dan tenang menghadapi ujian lebih besar. Pada ketika sama mengekalkan momentum baik yang sudah dibina ketika ini.

Kita juga harus akur bahawa tidak mudah mempertahankan siri kemenangan. Justeru jika nanti Harimau Malaya mengalami kekalahan, biarlah kita menerimanya sebagai suatu realiti. Lebih daripada itu ia menjadi sebab untuk belajar bangkit semula.

Keputusan menang-seri-kalah akan sentiasa berlaku dalam bola sepak.

Rasa bangga menjelma

Peminat atau pengkritik juga akan membandingkan pengendali berusia 46 tahun sekarang dengan bekas ketua jurulatih, Kim Pan Gon, yang meletakkan jawatan secara kontroversi selepas skuad negara tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia pada 16 Julai 2024.

Apa pun segala statistik pada saat ini menceritakan kemajuan secara perlahan-lahan dicipta Cklamovski. Ia permulaan positif yang perlu dipertahankan bagi satu tempoh yang panjang.

Kejayaan menumpaskan Palestin 1-0 pada 8 Sept lalu dan Singapura 2-1 (4 Sept.) dalam tempoh empat hari boleh ditakrif sebagai pembakar semangat. Ia adalah siri perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.

Terdahulu, pada 10 Jun skuad negara dengan khidmat lima pemain warisan meledak kemenangan menakjubkan mengatasi Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2007 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Satu lagi perlawanan kelayakan sama menyaksikan Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0.

5e0702dcad40abdecf3883a84a98ab21

Pada 30 Mei lalu, skuad negara seri 1-1 ketika menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam perlawanan Tier 1 di Stadium Cheras.

Statistik tersebut memberi perasaan bangga kepada negara, khasnya selepas menewaskan Palestin dan Singapura yang hadir dengan barisan berkualiti.

Apa pun, dalam perlawanan persahabatan seperti itu lazimnya sesebuah pasukan – termasuk skuad negara kita – tidak dapat memberikan persembahan 100 peratus kerana masing-masing berhati-hati mengelak kecederaan.

Dua kemenangan terkini negara tidak hadir mudah, malah memberi ujian besar dari segi karakter pemain untuk menyerap cabaran lawan sepanjang 90 minit tempoh permainan.

Rasa-rasanya, pemain kita berjaya melepasi ujian itu.

Semangat sepasukan dan corak permainan agresif, iaitu berani menerobos masuk ke dalam kubu lawan dengan hantaran kemas, juga meyakinkan sejak tiga perlawanan lalu.

Yakin sinar di depan

Keringat ditumpahkan juga berbaloi kerana berdasarkan laman sesawang ‘football-ranking’, skuad negara kini berada pada kedudukan ke-120 terbaik dunia menerusi ranking masa nyata.

Ini bererti kita melonjak lima anak tangga berbanding kedudukan ke-125 sebelum dua perlawanan berkenaan.

Bukan mudah mengekalkan tahap konsisten dalam tempoh singkat ini ketika pengkritik secara sinis membicarakan kemantapan skuad negara dan berubah tiba-tiba selepas kehadiran pemain warisan.

Lima pemain – Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado – menyertai keluarga Harimau Malaya pada 10 Jun lalu selepas FAM mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Figueiredo jelas membuktikan nilainya, termasuk jaringan tunggal ketika menewaskan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim tempoh hari, manakala yang lain memberi tenaga dan idea tambahan kepada cabaran skuad negara.

288698326756b750f99ea641fc82b44f

Apa pun, Harimau Malaya perlu bergerak dengan satu kepercayaan bahawa pada satu hari nanti sinaran akan tetap menjelma.

Biar tumpuan dan tenaga pasukan dipusatkan kepada misi berikutnya. Kita sebagai peminat juga ada peranan besar mengiringi cabaran pemain dan ia bermula dari sekarang.

Dalam saingan kelayakan Piala Asia nanti, Malaysia bertemu Laos pada 9 dan 14 Okt, diikuti Nepal (18 Nov) sebelum menyudahkan jadual perlawanan Kumpulan F menentang pencabar utama, Vietnam pada 31 Mac 2026.

Ingat, hanya juara kumpulan bakal layak ke pusingan akhir. Sejumlah 24 pasukan akan layak bersama tuan rumah, Arab Saudi, pada edisi ke-19 kali ini.

Belum faham falsafah dibawa

Persoalan ini dapat dijawab pada 31 Mac tahun depan sejurus selepas tamat perlawanan terakhir kumpulan menentang Vietnam yang dijangka boleh menjadi penentu siapa bakal layak ke Piala Asia.

Biar rentak yang ada sekarang dapat bergerak secara efektif. Jika tiket ke Arab Saudi menjadi milik kita, bererti ia satu isyarat – Harimau Malaya akan hadir bukan sekadar pelengkap kumpulan, sebaliknya sebagai pencabar baru.

Sedap dibaca, tapi hakikatnya kita masih ada empat lagi halangan penting peringkat kelayakan yang menawarkan 12 mata.

Ketika ini kita mendahului kumpulan dengan mata maksimum – enam.

Kita pun belum lagi memahami falsafah sebenar Cklamovski.

Namun, daripada apa dipertontonkan kebelakangan ini, lambat laun dia mahu Harimau Malaya memiliki identiti bola sepak sendiri.

Dia lebih cenderung kepada corak serangan yang sentiasa menekan lawan dan menghiburkan penyokong, bukan bertahan mahu elak kekalahan.

Setakat ini, bahtera dikemudi olehnya masih selamat belayar.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link