Malaysia Oversight

Biar JDT ‘bermaharajalela’ punca The Rhinos rebah

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Biar JDT 'bermaharajalela' punca The Rhinos rebah


JOHOR BAHRU: Pengendali Sabah FC, Jean-Paul Marigny menyifatkan tindakan pemainnya membenarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ‘bermaharajalela’ di bahagian tengah menyebabkan The Rhinos tersungkur 0-8 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Pengendali kelahiran Australia itu berkata, keadaan tersebut menyebabkan persembahan pemainnya caca merba dan serba tidak menjadi apabila diasak hebat juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.

Katanya, perlawanan yang didominasi sepenuhnya pasukan tuan rumah itu membolehkan mereka melancarkan serangan bertali arus dan berjaya merobek gawang Sabah lima kali pada 45 minit permainan.

“Ini adalah perlawanan yang sukar buat Sabah setelah pihak lawan mendominasi di bahagian tengah dan berleluasa melancarkan serangan, kita merasakan ‘outnumbered’ dan sukar untuk bernafas.

“Segala perancangan yang dilakukan juga serba tidak menjadi, kita cuba mengasak mereka namun mereka tidak berganjak menyebabkan pasukan terus ditekan sepanjang perlawanan.

“Pemain sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan itu namun ia tidak mencukupi, JDT mempunyai ramai pemain berkualiti yang boleh memberi ancaman kepada kami,” ujarnya.

Pada perlawanan itu, Joao Figueiredo dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan hatrik manakala Raul Parra dan Oscar Arribas masing-masing menjaringkan satu gol.

Marigny berkata, kekalahan memalukan itu adalah satu pengajaran buat pasukan yang merekodkan kekalahan pertama musim ini dan menuntut pemain untuk bangkit pada perlawanan seterusnya.

Pengendali berusia 61 tahun yang belum meraih kemenangan pada musim ini tidak betah dengan situasi itu setelah percaya akan kemampuan pasukannya.

“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan perlawanan ini namun ini adalah sebahagian daripada perlawanan dan proses pembelajaran buat pemain dalam membentuk karekter yang lebih kental.

“Perlawanan musim ini masih panjang, jadi kami perlu segera perbaiki diri dan belajar untuk menjadi lebih balik, kembali fokus dan bersiap sedia berdepan lawan yang seterusnya,” ujarnya.-UTUSAN





Source link