Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Munim mengkritik peserta penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kamil – yang juga setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan – berkata pembakaran karikatur seperti itu bukan sahaja keterlaluan dan biadab, tetapi juga menunjukkan penunjuk perasaan tidak mempunyai hujah yang sah untuk dibuat.
“Tindakan ini berlebihan dan biadab, tidak pun boleh dianggap sebagai protes aman, membahayakan diri dan orang awam, gagal memahamkan masyarakat umum apa yang nak disampaikan, dan paling utama, ini tanda kekalahan dalam perlawanan hujah.
“Hujah tak pernah berkesan disampaikan, hanya aksi kosong untuk dilihat berani bagi mencuri perhatian masyarakat. Tidak membantu menyelesaikan isu yang diperjuangkan.
“Okaylah anda dah berjaya dapat perhatian, sekarang munculkan diri dan berhujahlah dengan bernas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aksi bakar karikatur itu mengakhiri bantahan pelajar terhadap isu rasuah dalam negara yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah. Acara itu berlangsung dari petang semalam hingga 11 pagi hari ini.
Karikatur Anwar yang dibakar itu turut disertakan kenyataan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Fadhil Kasim berkata kain rentang itu melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar, yang didakwa kumpulan itu gagal menunaikan janji reformasi institusi.
Anwar telah dikecam antara lain atas pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Pada 2018, Musa dikenakan 46 pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan kontrak konsesi balak di negeri itu.
Bagaimanapun, dia dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan apabila pendakwa raya menarik balik kes terhadapnya pada Jun 2020.
Sementara itu, Kamil memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan membantah pembakaran karikatur seperti itu tanpa mengira imej siapa yang dibakar.
“Muka sesiapa pun (saya tak setuju). Saya secara peribadi menolak pendekatan seperti ini,” katanya.