Malaysia Oversight

Bezzecchi kuasai petak utama GP Portugal

By Utusan in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
Bezzecchi kuasai petak utama GP Portugal


PORTIMAO: Pelumba Itali, Marco Bezzecchi menempah petak utama bagi perlumbaan pecut dan Grand Prix (GP) Portugal selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan, hari ini.

Pelumba Aprilia itu akan bermula di barisan hadapan bersama pendahulu KTM dari Sepanyol, Pedro Acosta dan Fabio Quartararo dari Yamaha yang menamatkan kelayakan di tempat ketiga.

Quartararo terlebih dahulu perlu melalui Q1 sebelum mara ke Q2 bagi bersaing merebut 12 kedudukan teratas.

Bekas juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia akan bermula di petak keempat untuk Ducati bagi perlumbaan pecut dan aksi utama esok.

Alex Marquez yang mencatat masa terbaik ketika sesi latihan, terjatuh di penghujung kelayakan sekali gus menutup peluangnya memburu petak utama kedua musim ini.

Pelumba Ducati-Gresini itu tetap akan bermula di petak kelima, diikuti Johann Zarco dari pasukan Honda-LCR di tempat keenam.

Dalam kedudukan kejuaraan, Bezzecchi di tempat ketiga kini hanya lima mata di belakang rakan senegaranya, Bagnaia yang menghuni tangga keempat dengan 37 mata maksimum masih boleh diraih minggu ini.

Sementara itu, Acosta masih berpeluang menamatkan musim di podium keseluruhan, manakala juara dunia baharu Marc Marquez dan Jorge Martin tidak beraksi di Portugal akibat kecederaan. – AGENSI





Source link