Malaysia Oversight

Bersih pula desak Malaysia jauhi PRU kendalian junta tentera Myanmar

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bersih hari ini menggesa mengambil langkah tegas dengan tidak mengiktiraf pilihan raya umum (PRU) yang bakal diadakan junta tentera di Myamnar pada akhir tahun ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Bersih mendakwa PRU tersebut adalah “sandiwara” dan pelaksanaan pengundian yang “palsu”.

Justeru, kata NGO pendesak pembaharuan pilihan raya itu lagi, Malaysia wajar memainkan peranan sepatutnya sebagai pengerusi Asean.

“Bersih sekali lagi menggesa untuk tidak mengiktiraf pilihan raya palsu ini serta menarik balik sebarang keputusan untuk menghantar pemerhati bagi memantau PRU Myanmar 2025 seperti yang dilaporkan media,” katanya.

Menurut Bersih pelaksanaan PRU tersebut diisytiharkan palsu oleh kumpulan masyarakat sivil di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Pilihan raya ini hanyalah satu sandiwara untuk mendapat legitimasi politik antarabangsa dan (ia juga) bermakna lebih ramai rakyat biasa akan terkorban di bawah junta Myanmar,” katanya.

Pada 10 lalu Naypyidaw mendakwa Kuala Lumpur memberikan jaminan untuk sokongan Asean bagi pelaksanaan PRU negara itu pada 28 Dis mendatang. Malaysia juga didakwa menyatakan kesediaan menghantar pasukan pemerhati ke negara tersebut.

Media , The Global New Light of Myanmar, melaporkan Menteri Luar, Mohamad Hasan, menyampaikan perkara itu kepada Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Min Aung Hlaing, semasa mesyuarat di Naypyidaw sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya minggu lalu.

Mesti hentikan penindasan

Kali terakhir Myanmar mengadakan PRU ialah pada 8 Nov 2020. Bagaimanapun tentera merampas kuasa tidak sampai tiga bulan kemudian.

Menurut Bersih, pendirian mereka bahawa PRU Myanmar tidak sah adalah selaras dengan sikap gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan kesatuan sekerja antarabangsa yang bertemu dan disepakati pada 15 Sept lalu.

“Pilihan raya yang hendak dilaksanakan oleh junta Myanmar ini tidak menepati sebarang kriteria pilihan raya bebas dan adil, serta bercanggahan dengan amalan baik di peringkat antarabangsa.

“Pilihan raya ini tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan legitimasi seperti yang dihuraikan dalam laporan Asian Network for Free Elections (ANFREL),” katanya.

Menurut Bersih ANFREL menyenaraikan 15 tindakan serius dilakukan junta tentera Myanmar yang menunjukkan berlakunya kezaliman, tekanan dan sistem yang tempang serta berat sebelah.

Sebagai contoh, kata Bersih, langkah menangkap pengerusi dan dua ahli suruhanjaya pilihan raya negara itu selepas mereka mengendalikan PRU pada 2020.

Jawatan pengerusi badan itu kemudian digantikan dengan seorang bekas pegawai kanan tentera yang memang cenderung menyokong junta terbabit.

Pihak Junta juga, kata Bersih, mengharamkan parti-parti politik yang telah memenangi lebih 80 peratus kerusi parlimen pada PRU lalu serta mengenakan undang-undang repressif termasuk menjatuhkan hukuman mati kepada pihak penentang.

“Bersih menegaskan junta tentera Myanmar harus menghentikan keganasan dan penindasan ke atas rakyat mereka serta membebaskan semua tahanan politik yang kritikal.

“Bersih juga mendesak supaya junta tentera mengembalikan pemerintahan kepada pihak yang memenangi PRU pada 2020 sebelum cuba mendapatkan legitimasi antarabangsa dengan melaksanakan PRU kali ini,” katanya.



Source link