Bersih akan menggerakkan pasukan pemantau pilihan raya (Pemantau) bagi mengawasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Gabungan NGO itu juga menggesa pengundi menolak sepenuhnya semua bentuk politik wang.
“Walaupun Bersih pada bulan Mac yang lepas menggesa agar Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor untuk segera mengumumkan tarikh pembubaran agar memudahkan semua pihak merancang untuk menghadapi PRN terutama bagi pengundi membuang undi, namun nampaknya kepentingan politik parti pemerintah lebih diutamakan daripada kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Tujuan misi pemantauan pilihan raya adalah untuk memastikan hak pengundi Sabah dihormati dan pilihan raya ini dijalankan dengan Bersih, bebas dan adil serta wujudnya padang permainan sama rata untuk semua calon dan parti politik bertanding.
“Ianya perlu bebas daripada sebarang salah laku pilihan rayavdan pembelian undi bagi menterjemah kehendak sebenar orang Sabah dalam keputusan PRN kelak,” katanya.
Bersih berkata kebimbangan bahawa siri video yang mendedahkan beberapa anggota kabinet negeri Sabah didakwa menerima rasuah “mungkin hanya sekadar puncak gunung ais, yang menunjukkan betapa wang kotor disalurkan” dan digunakan sebagai dana politik untuk memenangi pilihan raya.
Atas sebab itu, jelasnya, Pemantau akan memberi fokus kepada pemantauan politik wang dan kesalahan rasuah yang mungkin timbul sebelum atau semasa tempoh pilihan raya.
“Bersih menggesa rakyat Sabah menolak 100 peratus unsur-unsur politik wang daripada calon atau parti politik mana sekalipun. Pendekatan umum yang selama ini digunakan seperti duit ambil undi belum tentu wajib ditolak dan ditinggalkan sepenuhnya kerana pendekatan ini hanya menggalakkan parti-parti politik mencari dana politik secara tidak sah untuk dihamburkan kepada rakyat bagi menjadi wakil rakyat. ,” tambahnya.
Kali ini, Bersih akan menggerakkan 100 pemerhati Pemantau di 30 dari 73 kerusi DUN Sabah.
Bersih menjelaskan kerusi-kerusi itu dipilih kerana mempunyai sejarah lompat parti, kaitan dengan skandal rasuah, kawasan marginal, serta termasuk kerusi Hajiji sendiri.
Pemantauan akan dilakukan di lapangan dan secara dalam talian sepanjang tempoh berkempen.
“ Bersih akan menggerakkan siri bengkel pemantau di beberapa daerah dan juga secara dalam talian untuk memberikan pencerahan kepada rakyat Sabah tentang peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam pilihan raya ini selain daripada mengundi pada hari pengundian kelak,” katanya lagi.
Laman web Pemantau Bersih boleh diakses di pautan berikut: http://www.pemantau.org






