Berdepan dengan rasa tidak senang rakan segabungan, Bersatu hari ini menegaskan parti itu terbuka dengan reaksi komponen PN andainya mereka memilih untuk menamakan calon perdana menteri sendiri.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata langkah parti itu menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bukan saja dibuat mengikut perlembagaan parti malah mengambil kira merit ahli parlimen terbabit.
Asas kepada merit itu, katanya, ialah melihat kepada pengalaman panjang Muhyiddin serta kemampuannya yang sudah teruji “menyelamatkan negara dan rakyat” ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.
Muhyiddin juga, kata Tun Faisal, mempunyai rekod prestas yang baik dalam pentadbiran kerajaan dan diperlukan bagi mengemudi negara mendepani krisis ekonomi, kewangan dan kehidupan seharian.
Tambah Tun Faisal, tindakan Bersatu menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dibuat atas platform parti dan bukannya PN, justeru ia wajar dihormai sebagai hak dan kehendak ahli terbabit.
Usul berkenaan, katanya, akan dibawa ke Majlis Presiden PN sebelum diputuskan secara konsensus dalam badan tersebut.
“Mana-mana parti dalam PN juga boleh melakukan perkara yang serupa dalam perhimpunan agung parti masing-masing yang merupakan platform tertinggi dalam parti kerana ia adalah keputusan yang sah dari segi undang-undang berbanding melalui kenyatan media atau platform-platform lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bersatu hormat hak, suara lain
Semalam Bersatu sebulat suara meluluskan usul untuk mengangkat Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 di sebalik insiden mengejutkan ramai apabila ada segelintir individu mendesak agar ahli politik terbabit berundur dari jawatannya.
Usul berkenaan juga tidak mendapat reaksi yang positif daripada PAS. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Annuar Musa, malah menasihatkan agar Bersatu “menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar serta memulihkan kepercayaan rakyat.”
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung BN menambah, Bersatu wajar mempersiapkan parti dengan barisan pelapis yang “berintegriti tinggi serta keupayaan membawa negara ke ufuk yang baru.”
Sebelum ini Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, turut menegur Bersatu agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pengumuman menyentuh mengenai PN, selain mengamalkan dasar musyawarah.

“Keputusan yang dibuat oleh Pengerusi PN sekarang, Muhyiddin, tidak dibincangkan dalam PN. Siapa calon perdana menteri apa semua… dan jawatankuasanya tidak dibuat (dibincang) setahu saya.
“Jadi, kita (PAS) minta supaya dirunding, diputuskan dulu baru diumumkan. Jangan terus umum begitu sahaja,” katanya pada Julai lalu.
Untuk rekod PAS bakal mengadakan muktamar tahunannya di Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah hujung minggu ini.
Tun Faisal berkata sebagai negara yang beramal dengan demokrasi setiap parti komponen PN berhak menamakan calon perdana menteri masing-masing.
Pada masa sama, bekas pegawai kanan Annuar itu menegaskan, Bersatu tidak pernah menyentuh atau menamakan sebarang pemimpin dari parti lain sebagai calon perdana menteri.
“Ini juga kerana Bersatu menghormati hak, suara dan pilihan ahli-ahli PAS, Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia).
“Bersatu juga akan menghormati keputusan Perhimpunan Agung Gerakan dan MIPP atau Muktamar PAS kerana ia dibuat dalam platform mereka, oleh ahli mereka dan mengenai pemimpin mereka.
“Seperti Bersatu, angkatlah keputusan ini ke dalam Majlis Presiden PN dan putuskanlah secara konsensus di sana,” katanya.