Exco Pemuda Bersatu (Armada), Na’im Brundage menyindir beberapa pemimpin parti itu dengan berkata, mereka tidak perlu jadi seperti parti lawan PKR yang bergaduh sesama sendiri sendiri secara terbuka.
Menyentuh mengenai kenyataan tidak berpuas hati ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Na’im berkata perkata sebegitu perlu diluahkan melalui saluran parti.

“Perkara seperti ini seharusnya dibincangkan secara dalaman dan bukan di Facebook.
“Kita tidak mahu jadi seperti parti lawan yang sering bergaduh sesama sendiri di media massa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.
Na’im berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Machang itu yang mempersoalkan program jelajah Bersatu ke negeri-negeri yang tidak menjemput timbalan presiden dan naib presiden parti berkenaan.
Malah bekas Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, MPT juga tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.
“Luar biasa,” katanya di Facebook, malam tadi.
Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal mendapat perhatian Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz yang berpendapat soalan sedemikian sepatutnya boleh diajukan dalam kumpulan WhatsApp MPT parti itu.

Soalan-soalan seperti ini, dia hanya perlu tanya dalam group WhatsApp MPT,” katanya ringkas kepada Malaysiakini, hari ini.
Sementara itu, Na’im berkata budaya sebegini yang tercetus dalam PKR sejak dahulu lagi menyebabkan dia mengambil keputusan meninggalkan parti itu.
“Saya sendiri dari PKR (sebelum ini), itu adalah salah satu sebab saya tinggalkan parti tersebut dan saya harap perkara yang sama tidak akan berlaku dalam Bersatu.
“Saya percaya Bersatu mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu dalaman,” katanya lagi.
Semalam, berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PKR Cabang Langkawi di Langkawi, presiden parti itu, Anwar Ibrahim berkata, dia tidak risau dengan kehangatan pemilihan kali ini kerana yakin semua pemimpinnya akan bersatu dan bermaaf-maafan selepas selesai pemilihan.
Anwar menegaskan semua calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini adalah mereka yang mempunyai jasa kepada perjuangan PKR.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertembungan sengit antara bagi jawatan timbalan presiden PKR yang disandang Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu dicabar Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga anak presiden parti bagi merebut kerusi nombor dua PKR.
Sehingga kini majoriti pemimpin Cabang PKR seluruh negara menyatakan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah bagi merebut kerusi timbalan presiden.