Bersatu Sabah mengemukakan laporan untuk pertimbangan oleh presiden parti Muhyiddin Yassin mengenai persiapan menghadapi pilihan raya negeri ke-17 akan datang di bawah panji PN, kata setiausaha agung parti Azmin Ali.
Bercakap semasa sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Azmin mengesahkan persiapan semasa yang diketuai Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee termasuk mengenal pasti bilangan kerusi yang akan ditandingi serta bakal calon.
“Ronald Kiandee telah diberikan mandat untuk membantu meneliti kawasan-kawasan tumpuan yang akan diwakili oleh Bersatu dalam PRN Sabah. Beliau telahpun memaklumkan persiapan Bersatu Sabah dalam menghadapi PRN kali ini.
“Bukan sahaja kawasan tumpuan tetapi calon-calon juga sudah diserahkan kepada presiden untuk diputuskan dalam masa yang terdekat,” kata Azmin.
Mengenai jumlah kerusi yang disasarkan, Azmin berkata ini bergantung kepada kepimpinan negeri parti.
“Itu kita serah pada badan pimpinan Bersatu Sabah. Beliau (Kiandee) telah kemukakan laporan. Saya tak berhasrat untuk melaporkan di sini kerana perkara ini akan diputuskan oleh presiden dan pimpinan Bersatu Sabah, hasil dari dapatan di lapangan.
“Tunggu masa yang sesuai untuk umumkan kawasan tumpuan Bersatu,” katanya.

Azmin juga mengesahkan bahawa Bersatu tidak memeterai sebarang perjanjian prapilihan raya dengan parti lain di Sabah, sambil menyorot bahawa dinamik politik negeri itu berubah-ubah.
“Ketika ini kita akan bertanding atas nama PN. Belum ada persetujuan dengan mana-mana parti politik kerana situasi di Sabah cukup dinamik,” katanya.
Azmin mengakui bahawa kebanyakan parti politik sudah memutuskan strategi mereka sendiri, memetik pengumuman Warisan bahawa ia akan bertanding di semua kerusi secara solo.
“Dalam pasca PRN Sabah, pastinya kita akan melihat bagaimana parti-parti yang menang ini dapat membentuk kerajaan yang stabil, yang dapat memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat negeri Sabah,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian PN berhubung sebarang kemungkinan pakatan selepas pilihan raya.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, Kiandee, ketika diminta mengulas mengenai “pakatan pasca pilihan raya” yang dicetuskan oleh Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, berkata ia bukan fenomena baru dan telah berlaku sejak pilihan raya negeri 2020 yang lalu.
Dia juga mengulangi bahawa PN akan sekali lagi bertanding dalam pilihan raya Sabah secara bebas, sebagai gabungan empat parti Bersatu, PAS, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia.