Malaysia Oversight

Bersatu pecat Wan Saiful, gantung Wan Fayhsal

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
Bersatu pecat Wan Saiful, gantung Wan Fayhsal


Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahliannya selama satu penggal.

Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah dua daripada enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.

Empat yang turut dikenakan tindakan dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, mereka menjalankan siasatan selepas menerima aduan bertulis daripada ahli berhubung pelanggaran perlembagaan dan tatakelakuan parti.

“Sehubungan itu, lembaga disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden-responden untuk sesi pendengaran pada 8 Okt dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Menurut badan itu lagi responden didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan kod etika dan tatakelakuan parti.

Semua mereka mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan oleh badan tersebut.

“Lembaga disiplin membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.

“Lembaga disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi perlembagaan dan peraturan demi menjaga nama baik parti,” katanya.

2736effb5958eaaa70d9fca00d850cbf

Sebelum ini Wan Saiful membuat kejutan apabila mengkritik Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, serta menjelaskan langkah sesetengah pemimpin parti itu mengumpul akuan berkanun (SD) dalam kalangan ketua-ketua bahagian bukan bertujuan untuk mengetepikan presiden mereka, Yassin.

Dia yang juga bekas ketua penerangan Bersatu mendakwa naratif tersebut diputar belit oleh pihak tertentu.

Pada 8 Okt lalu selepas dipanggil menghadap Lembaga Disipin Bersatu, Wan Saiful sempat memberi amaran bahawa mungkin akan ada reaksi yang tidak diingini parti jika dia dan pemimpin lain terus “ditekan”.

Wan Saiful juga memberi bayangan yang dia memiliki banyak maklumat dalaman parti, termasuk hubungan yang dibuat pemimpin tertentu dengan parti lawan – atau parti dalam – untuk berbincang sesuatu.

Tidak cukup dengan itu, Wan Saiful, 50, juga mendakwa mereka tahu ada individu dalam Bersatu yang memperoleh wang sehingga berjuta-juta ringgit daripada pihak lain.

“Tapi kita tak dedahkan setakat ini, cuma janganlah ‘tolak’ kuat sangat sebab takut nanti ada reaksi,” katanya.



Source link