Ketua Srikandi Bersatu Sabah Nabila Norsahar menggesa SPRM mendedahkan laporan terperinci berkenaan hasil siasatan terhadap bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Nabila menegaskan persepsi adalah penting, khususnya kerana Farhash merupakan bekas pembantu kepada perdana menteri.
“Mengapa (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam (Baki) begitu pantas membersihkan nama seorang individu yang diketahui umum sebagai orang dalam politik dan rapat dengan perdana menteri?
“Mengapa Farhash diberikan keistimewaan dibersihkan secara terbuka, sedangkan layanan sama tidak diberikan kepada individu lain yang disiasat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nabila mengingatkan yang pengumuman Azam berisiko menguatkan lagi persepsi bahawa SPRM mengamalkan “dua set peraturan: satu untuk mereka yang ada hubungan dengan elit politik, satu lagi untuk rakyat biasa.”
“Bagi menghapuskan sebarang persepsi layanan terpilih atau pertimbangan istimewa, SPRM perlu membuktikan siasatan ini dijalankan dengan tahap ketelitian yang sama dengan kes lain.
“SPRM digesa mendedahkan laporan siasatan yang lebih terperinci, termasuk identiti pengadu, senarai pihak yang disiasat, serta alasan mengapa tiada pertuduhan boleh dibuat.
“Hanya dengan keterbukaan sebegini keyakinan awam terhadap sifat berkecuali institusi dapat diperkukuh,” katanya lagi.

Secara sinis, Nabila memuji SPRM atas kecekapan “sepantas kilat” dalam membersihkan nama Farhash.
“Sayangnya, tahap kecemerlangan ini hilang apabila melibatkan skandal lombong Sabah yang membabitkan lapan Adun,” sindirnya.
‘Tiada asas untuk pendakwaan’
Farhash telah dibersihkan daripada dakwaan kaitan dengan skandal itu selepas siasatan mengesahkan syarikatnya tidak pernah menerima lesen penerokaan.
Pada Selasa lalu, Azam memaklumkan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, yang mendapati tiada asas untuk pertuduhan.
“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.
“Akhirnya, timbalan pendakwa raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus.
“Maka kes ini ditutup,” katanya.
Menurut Azam, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah memohon lesen penerokaan mineral pada Mac 2023 tetapi gagal mengemukakan dokumen diperlukan.
“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana kerana (syarikat) tidak membekalkan dokumen berkenaan,” katanya, sambil menambah bahawa permohonan itu ditamatkan pada Mac lalu.