Pemuda Bersatu (Armada) mendakwa dua lagi ahli Bersatu hari ini ditahan polis berhubung himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Menurut ketua penerangannya Harris Idaham Rashid, mereka yang ditahan adalah Setiausaha Kerja Armada Perak, Furqan Hakimi dan ahli bernama Syafiq Aziz.
“Armada baru diberi maklumat yang dua lagi ahli Bersatu telah ditangkap polis setengah jam yang lalu. Tangkapan ini berkait dengan himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu.
“Mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan secara kebiasaan, esok pagi akan diadakan permohonan lanjutan reman,” kata Harris dalam kenyataan.
Semalam, polis menahan pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin – lebih dikenali dengan nama Chegubard – selepas laporan polis dibuat terhadapnya berhubung himpunan itu.
Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata, Chegubard disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya sedang menyiasat satu insiden semasa perhimpunan “Turun Anwar”, di mana beberapa individu dilihat memukul patung menyerupai Anwar dengan rotan.
Dia berkata dua lelaki, berusia 21 dan 47 tahun, telah ditahan berkaitan insiden itu.
Walaupun Khalid tidak menyebut nama mereka, Rafique mengesahkan Badrul telah ditahan berhubung insiden itu.