Malaysia Oversight

Bersatu bergolak, Rafizi beri analogi kucing oren gemuk

By MkiniBM in October 1, 2025 – Reading time 3 minute
Bersatu bergolak, Rafizi beri analogi kucing oren gemuk


Enggan mengulas lanjut mengenai pergolakan yang melanda Bersatu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, bagaimanapun mengguna anlogi daripada video kucing oren gemuk bagi menggambarkan kontroversi terbabit.

“Saya tak nak ulas (bersatu bergolak), jadi saya kongsi video kawan saya, seekor kucing oren gemuk. Dia ada dua video – satu pasal perangai ahli politik. Yang kedua pasal setiakawan dalam politik.

“Moga ia menjadi pengajaran kepada semua dan kredit kepada kucing oren gemuk,” katanya dalam hantaran video di Facebook, hari ini.

fc0d247c03c9ffea34422caac3bf4ca8
Rafizi Ramli

Dalam video pertama menyaksikan seekor kucing oren gemuk bersama seekor harimau yang bersembunyi di sebalik pokok selepas memasang ‘perangkap’ tertentu terhadap haiwan lain.

Kucing oren gemuk itu antara lain meletakkan kulit pisang di tengah jalan hingga menyebabkan seekor lembu terpijak dan terjatuh akibat licin. Kucing oren gemuk bersama harimau terus ketawa melihat insiden menimpa lembu berkenaan.

Tikus, dan musang turut menjadi mangsa kenakalan kucing oren gemuk yang begitu seronok melihat haiwan lain ditimpa kecelakaan.

Namun, perlakuan kucing oren gemuk diperhatikan seekor katak yang marah dengan perangai kucing itu. Katak kemudiannya menjatuhkan sarang lebih dari atas pokok tempat kucing dan harimau berselindung.

Kedua-kedua watak jahat kemudiannya diserang segeromolan lebah menyebabkan mereka cedera disengat.

Berdendam dengan tindakan sang katak, kucing oren gemuk dan harimau kemudiannya bertindak melempar sebiji durian sekali gus mendatangkan kecederaan kepada katak.

Mereka bergembira di atas kecelakaan dialami sang katak sehingga menjahit pakaian khas menggunakan kulit katak untuk dipakai dan menari menari kegembiraan.

Kisah itu memberi gambaran bahawa wujudnya watak individu yang jahat (kucing oren gemuk) yang berselindung di sebalik kekuasaan individu lain (harimau), dan mereka mengkhianati atau menjatuhkan individu-individu lain.

Rafizi memberi analogi tersebut susulan konflik dialami Bersatu selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang menafikan ada gerakan untuk menyingkirkan Yassin daripada jawatan presiden, sebaliknya menjelaskan akuan berkanun (SD) yang ditandatangani 120 ketua bahagian parti sebenarnya untuk menyatakan sokongan terhadap pelan peralihan kuasa yang dipersetujui tahun lalu.

Wan Saiful turut mendakwa wujud salah laku membabitkan dua pemimpin parti, Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz, termasuk ugutan fizikal serta perang siber.

Menyasarkan Azmin, Wan Saiful malah berkata hubungannya dengan setiausaha agung Bersatu itu “kejap panas, kejap sejuk” sejak tahun lalu, dipercayai berkaitan skandal video pada 2019 yang mengaitkan bekas timbalan presiden itu.

Sementara itu dalam video kedua dikongsi Rafizi, menyaksikan kisah seekor kucing oren gemuk yang baik hati membantu seekor rusa yang cedera.

Dia menyelamatkan dan menjaga rusa tersebut sehingga sembuh daripada kecederaan yang dialami termasuk memberi makan dan minum.

Kucing oren gemuk kemudiannya meminta rusa supaya mengajak kawan-kawan atau keluarga rusa yang lain untuk bersama mereka. Si kucing kemudiannya meraikan sekumpulan rusa dengan jamuan dan minuman keras sehingga mabuk tidak sedarkan diri.

Di sebalik kebaikan kucing oren gemuk itu, rupanya terselindung niat yang jahat. Sekumpulan rusa akhirnya menjadi mangsa si kucing, kulit rusa dijadikan pakaian dan daging rusa menjadi santapan kucing oren gemuk.

Kisah itu memberi gambaran betapa wujudnya watak individu yang memperlihatkan kebaikan, namun di sebalik kebaikan untuk dia mempunyai niat tidak baik dan menunggu waktu yang sesuai untuk menikam orang yang memberi kepercayaan kepadanya.



Source link