Bersatu Bahagian Ampang hari ini memutuskan sebulat suara menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin dan mendesaknya berundur sebagai presiden parti.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Bahagian Bersatu Ampang, Daing Mohamad Daing Makati, berkata Muhyiddin gagal meredakan krisis dalaman parti itu.
“Menginsafi bahawa kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya presiden, dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin itu untuk memperkukuh hubungan dalaman parti sudah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian.
“Maka dengan ini Bersatu Bahagian Ampang dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran telah mengambil keputusan untuk menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu,” katanya.
Menurut Daing Mohamad, keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa 28 Oktober lalu, selepas perbincangan terbuka mengenai hala tuju dan kestabilan parti.
Dia berkata, Bersatu Bahagian Ampang menyedari wujud “pergolakan dalaman yang ketara” terutama melibatkan hubungan antara Setiausaha Agung Azmin Ali dan ketua penerangan parti, Tun Faizal Ismail Aziz dengan sebahagian besar kepimpinan bahagian di seluruh negara.
Selain mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat, bahagian itu turut menggesa supaya satu pelan transisi kepimpinan dilaksanakan secara tertib dan inklusif bagi memastikan parti kekal kukuh menjelang pilihan raya akan datang.
“Sekali lagi diulangi, keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bahagian Ampang selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya.
Keputusan Bahagian Ampang ini hadir di tengah-tengah ketegangan dalaman yang semakin ketara dalam Bersatu, susulan beberapa pemimpin dan bahagian dilaporkan tidak puas hati dengan arah kepimpinan parti.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu 2025 sebelum ini, beberapa perwakilan secara terbuka mendesak Muhyiddin meletak jawatan, mencetuskan kekecohan di dewan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sebelum ini juga menyifatkan Muhyiddin sebagai “tidak lagi relevan” selepas prestasi buruk Bersatu dalam beberapa pilihan raya negeri.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, mendesak Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai Presiden Bersatu dengan mendakwa bekas perdana menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya sebelum ini.
Menurut Saifuddin, Muhyiddin didakwa tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti ketika awal menubuhkan parti berkenaan.






