Pemuda Bersatu hari ini mengumumkan akan menyertai kempen Pemuda Umno menentang perbuatan menghina Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang esok.
Dalam satu kenyataan, hari ini, Ketua Pemuda Bersatu (Amada), Hilman Idham berkata insiden bendera negara dikibarkan secara terbalik telah berulang kali berlaku dan mereka berkongsi semangat solidariti untuk mempertahankannya.
“Seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan’. Kesatuan dan kebersamaan rakyat mesti digemblengkan demi mempertahankan panji-panji tanah air, maruah dan martabat negara.
“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Armada Bersatu akan bersama Pemuda Umno di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos ini.
“Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen,” katanya.
Hilman, yang juga Adun Gombak Setia, menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara dan menjadi tanggungjawab semua warganegara untuk mempertahankannya.
Dia turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kejadian berulang-kali dan cuai mencemar bendera dan hairan dengan pihak yang menyerang mereka yang mahu mempertahankan Jalur Gemilang.

Walaupun tidak menyebut nama, difahamkan Hilman merujuk kepada pemimpin DAP yang mengkritik Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung di sebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘Rukun Negara’.
“Jangan peralat dan dan mencemarkan patriotisme untuk membela sikap dan tindakan yang salah.
“Pihak yang bersalah (atas kesilapan bendera) mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Kesalahan ini mesti dihukum tanpa mengira warna kulit, kaum, agama, dan fahaman politik,” kata Hilman.

Pemuda Umno pada mulanya merancang untuk mengadakan himpunan protes di Kepala Batas selepas tular video pemilik sebuah kedai perkakasan di situ memegang Jalur Gemilang secara terbalik, dengan Akmal mengumumkan akan ke kedai tersebut untuk mengajar ‘apek’ cara mengibarkan bendera dengan betul.
Sayap Pemuda itu kemudian mengumumkan penangguhan himpunan selepas polis menahan pemilik kedai tersebut pada Isnin lalu. Namun Akmal kemudian mengugut untuk meneruskan rancangannya untuk “mendidik apek ini” jika pihak berkuasa tidak mendakwa suspek dalam tempoh dua hari.