KOTA BHARU: Seorang wanita diarahkan pulang selepas berpakaian seksi semasa menghadiri himpunan permotoran RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini yang berakhir semalam.
Tindakan wanita itu bercanggah dengan syarat dan peraturan penganjur yang menetapkan golongan berkenaan perlu menutup aurat semasa menghadiri program berkenaan.
Pengarah Program, Muhamad Huzaifah Abdul Halim berkata, pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan meminta wanita berkenaan pulang kerana berpakaian seksi.
Katanya, bagi memastikan peserta wanita mengikut peraturan penganjur telah meletakkan petugas di pintu masuk utama untuk membuat pemantau terhadap pengunjung yang hadir.
“Itu antara ketegasan yang kita buat. Pada masa yang sama kita telah sediakan 100 helai tudung buat wanita yang tidak menutup aurat.
“Bagaimanapun, hanya sekitar 30 orang sahaja yang berbuat demikian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di semalam yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sebelum itu, Utusan Malaysia pada 5 Februari lalu melaporkan, peserta wanita yang menyertai himpunan permotoran RXZ Forever Legend, yang berlangsung selama dua hari bermula esok di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini, diwajibkan bertudung.
Pengarah program, Muhamad Huzaifah Abdul Halim, berkata langkah itu bertepatan dengan pengisytiharan lokasi tersebut sebagai zon menutup aurat oleh penganjur.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan program berjalan tertib serta menghormati budaya dan peraturan tempatan.-UTUSAN






