“Beritahu DAP saya mahu kebenaran,” kata Teng Shuw Hoi di sisi pusara anaknya, Teoh Beng Hock, yang meninggal dunia 16 tahun lalu selepas satu malam disoal siasat oleh SPRM.
Dua anaknya, Teoh Lee Lan dan Teoh Meng Kee kemudian datang untuk menenangkannya dan membawanya ke tepi.
Mereka menziarahi pusara Beng Hock untuk menyalakan colok sebelum upacara peringatan yang dianjurkan oleh DAP Selangor.
Upacara di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih, Selangor pagi ini dimulakan tidak lama selepas luahan emosi Shuw Hoi. Ia bermula dengan tafakur selama seminit, diikuti dengan tiga kali tunduk hormat di hadapan pusara Beng Hock dan penghormatan bunga.
Ia diadakan kurang dua minggu selepas SPRM akhirnya membuat permohonan maaf berhubung kematian Beng Hock dan menawarkan bantuan kewangan kepada anak mendiang.

Pihak keluarga menolak tawaran itu dan menegaskan mereka mahukan keadilan, bukannya pampasan wang.
Mereka tetap berpegang kepada pendirian itu walaupun pemimpin DAP membuat tunduk hormat kepada mereka dan merayu supaya mereka mempertimbangkan tawaran tersebut.
‘Kebenaran mesti didedahkan’
Berucap semasa majlis peringatan hari ini, Lee Lan menyampaikan mesej yang tegas.
“Selama ini, ada yang mencemuh kami, mengherdik kami, melontar fitnah, dan menuduh kami hanya mahukan wang.
“Beng Hock, kalau anda dengar semua ini, saya percaya anda akan ketawa. Saya masih ingat anda pernah kata, ‘Orang yang mulia cintakan harta, tetapi mesti diperoleh dengan cara yang betul.’
“Kami tidak mahukan walau satu sen pun wang yang tidak halal. Kami tidak pernah menerima sebarang tawaran untuk menukar nyawa dengan wang – kami hanya menuntut perbicaraan yang adil.

“Kami masih tetap teguh, mengulangi tuntutan yang sama, dan berharap janji akan ditunaikan. Sama ada semalam, hari ini atau esok, pendirian kami tidak pernah berubah.
“Enam belas tahun lalu, kami menuntut keadilan ditegakkan. Enam belas tahun berlalu dan kami tetap teguh – kebenaran mesti didedahkan,” katanya.
Lee Lan turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin dan ahli akar umbi DAP, pertubuhan masyarakat sivil, wakil pelajar, gerakan belia dan orang awam atas sokongan berterusan dalam perjuangan keluarganya untuk menuntut keadilan.
Majlis peringatan hari ini dihadiri ramai anggota masyarakat sivil dan pemimpin DAP, termasuk naib pengerusi Teo Nie Ching – antara pemimpin parti itu yang tunduk hormat kepada keluarga mendiang.
Namun, hanya Lee Lan yang berucap pada acara hari ini, tidak seperti acara peringatan sebelum ini.

Selepas majlis selesai, apabila Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menghampiri Shuw Hoi untuk menyampaikan ucapan takziah, ibu kepada mendiang Beng Hock itu sekali lagi menyatakan hasratnya.
Dia berkata kepada Chow: “Apa yang saya benar-benar nak hanyalah kebenaran. Saya mahu kebenaran. Jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia.”
Kematian Beng Hock
Pada 2009, Beng Hock yang ketika itu pembantu kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas semalaman disoal siasat di pejabat SPRM Selangor, yang ketika itu terletak di Plaza Masalam di Shah Alam.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan dia membunuh diri akibat soal siasat yang agresif. Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis agar melengkapkan siasatan terhadap kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Namun pada Mei lalu, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes tersebut sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).