Malaysia Oversight

Beri ruang penguat kuasa agama siasat insiden ‘silat’ di kubur

By MkiniBM in November 23, 2025 – Reading time 2 minute
Beri ruang penguat kuasa agama siasat insiden 'silat' di kubur


Masyarakat diminta memberi ruang sepenuhnya kepada penguat kuasa agama menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tular seorang lelaki bersilat di kawasan perkuburan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar juga menasihatkan agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diperoleh.

Katanya Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah Kluang menyiasat video tular berkenaan untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada exco agama negeri yang mengambil tindakan awal dan pantas mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang menjalankan siasatan dari semua sudut.

“Janganlah kita berspekulasi kerana jika siasatan mendapati individu itu mengalami gangguan mental, maka kita perlu merujuknya untuk mendapatkan rawatan dan membaiki diri. Sebab beliau juga anggota masyarakat,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas merasmikan majlis p enutupan Karnival Hijrah 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Dia turut menegaskan perbuatan bersilat atau melakukan sesuatu yang tidak wajar di kawasan kubur tidak boleh diterima dalam .

“Ziarah kubur adalah disunahkan untuk mengingati mati dan setiap perbuatan di kawasan kubur harus dilakukan dengan menghormati waris serta menepati batas-batas akidah.

“Masyarakat Islam yang tidak pasti mengenai hukum sesuatu perbuatan hendaklah merujuk kepada pihak berilmu dan berautoriti seperti Jabatan Mufti Johor bagi memastikan tindakan mereka tidak melanggar akidah Islam,” katanya.

Semalam, media melaporkan negeri mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam.

Langkah itu diminta untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.

Terdahulu, video berdurasi 28 saat di laman sosial Facebook yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki.

Bernama



Source link