PARLIMEN | Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) menggesa agar penekanan lebih besar diberikan kepada aktiviti kokurikulum sebagai sebahagian daripada proses kemasukan ke universiti.
Menurutnya, ia termasuklah dengan memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), digantikan dengan aktiviti serupa yang dilaksanakan di bawah silibus kokurikulum sekolah menengah.
Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin menegaskan yang peruntukan kerajaan untuk pendidikan (RM66.2 bilion) dan pendidikan tinggi (RM18.6 bilion) sepatutnya membolehkan reformasi tersebut dilaksanakan, termasuk reformasi besar terhadap sistem kemasukan universiti UPU.
Bekas menteri pengajian tinggi itu mencadangkan agar penilaian kokurikulum dalam proses kemasukan ke universiti ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 30 peratus, bagi mewujudkan pendekatan yang lebih holistik dan inklusif.
“Pentaksiran sepatutnya bukan hanya akademik…Sebab itu saya cadangkan untuk batalkan PLKN – segala program itu boleh dibuat di sekolah, di bawah kegiatan kokurikulum.
“Dan kalau ada peruntukan seperti yang disebut Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026, salurkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, salurkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk buat lebih banyak program berkaitan kokurikulum,” katanya.
Saifuddin juga mencadangkan pengecualian cukai untuk ibu bapa yang memiliki anak yang aktif dalam aktiviti kokurikulum, bagi membantu menampung kos pembelian peralatan, pakaian seragam, serta yuran penyertaan pertandingan.
Terdahulu, R Yuneswaran (PH-Segamat) turut mencadangkan agar sistem pendidikan tinggi, termasuk proses UPU, direformasi secara menyeluruh supaya lebih inklusif.

“Setiap tahun, kita lihat pelajar cemerlang dinafikan tempat di universiti awam, tanpa mengira kelayakan pra-universiti mereka.
“Sistem sedia ada memberi tanggapan yang ramai pelajar cemerlang, terutama daripada etnik minoriti, diketepikan,” katanya lagi.
Dia menggesa kerajaan untuk menubuhkan lebih banyak universiti awam dan menangani jurang antara institusi awam dan swasta, bagi menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran.
“Kita hanya ada 20 universiti awam… tetapi ada lebih daripada 400 institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa ramai pelajar terpaksa bergantung kepada institusi swasta selepas gagal mendapat tempat di universiti awam.
Katanya lagi, sistem sedemikian hanya melebarkan lagi jurang antara kaum dan pendapatan, selain menyebabkan pelajar yang berbakat mencari peluang di luar negara.
“Tidak sepatutnya ada pelajar yang terpinggi hanya kerana kekurangan tempat,” tegasnya.

Justeru, Yunewswaran menggesa kerajaan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah universiti khusus untuk pelajar TVET, menambah lebih banyak kampus satelit, dan mempertingkatkan inisiatif pembelajaran dalam talian bagi memastikan pelajar di kawasan pedalaman turut mendapat akses pendidikan.
Dalam ucapannya hari ini, Saifuddin turut membangkitkan yang peruntukan RM150 juta untuk latihan guru yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 tidak memperincikan reformasi silibus yang akan diperkenalkan.
Katanya, guru mesti dilatih secukupnya sebelum sebarang reformasi silibus diperkenalkan di bawah pelan pendidikan 2027, dan subjek di sekolah rendah dan menengah sepatutnya memberi tumpuan kepada pengetahuan asas tanpa terlalu merumitkan kandungan silibus.
“Saya juga harap kita dapat kurangkan jumlah subjek di sekolah, kerana sekarang terlalu banyak. Sekolah juga perlu menjelaskan objektif bagi setiap subjek dan menambah baik kandungannya.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat murid rasa gembira dan selamat — bukan tempat yang menambah tekanan, di mana kes buli, rogol dan isu serius lain berlaku,” katanya.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Dania Kamal Aryf, Haspaizi Zain






