PETALING JAYA: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva terus mencipta sensasi dalam kancah bola sepak tempatan apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dengan rekod 109 gol.
Rekod itu tercipta selepas Bergson meledak hatrik ketika membantu JDT membelasah Sabah FC 8-0 dalam aksi keenam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Pencapaian itu sekali gus mengatasi rekod 106 gol yang sebelum ini dipegang bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
Lebih menarik, kesemua 109 gol Bergson itu hadir bersama JDT sejak dia menyertai kelab Harimau Selatan pada 2021, berbanding Indra Putra yang mengumpul jaringan itu bersama beberapa pasukan berbeza seperti Kelantan, Pahang, Selangor, KL City dan Felda United.
Dengan saingan Liga Super musim ini masih panjang, jumlah jaringan Bergson dijangka terus meningkat, sekali gus menjadikan rekod berkenaan sebagai angka yang sukar digugat pemain lain dalam tempoh terdekat.
Dalam tempoh empat tahun, penyerang kelahiran Brazil itu telah meletakkan namanya sebaris legenda bola sepak tempatan dan menjadi nadi utama Harimau Selatan dalam memburu pelbagai kejuaraan di pentas domestik.
Pada masa sama, JDT turut mencatat sejarah baharu apabila merekodkan kemenangan ke-23 berturut-turut dalam Liga Super, mengatasi rekod terdahulu dengan 22 kemenangan tanpa kalah yang dicatat antara Oktober 2022 hingga Ogos 2023.
Pencapaian ini sekali lagi membuktikan dominasi JDT di pentas domestik yang bukan sahaja sukar digugat lawan, malah terus memperkukuh reputasi mereka sebagai kelab gergasi bola sepak Malaysia.
Dalam aksi bergaya itu, selain hatrik Bergson dan Joao Figueiredo, dua lagi jaringan JDT disumbangkan Oscar Arribas dan Raul Parra untuk melengkapkan pesta gol Harimau Selatan._UTUSAN