KUALA LUMPUR: Hasrat juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis musnah selepas tumbang di tangan beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada aksi suku akhir hari ini.
Pasangan pilihan ketiga dunia itu kelihatan kepenatan dan gagal mengekang asakan lawan sebelum tewas 9-21, 18-21 dalam pertarungan dua set di Arena Glaz, Cesson-Sevigne.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan langkah Tang Jie-Ee Wei di kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 tersebut, malah memadamkan rekod bersih empat kemenangan mereka ke atas gandingan Hong Kong itu sebelum ini.
Aksi longlai sejak awal permainan nyata memihak kepada Chun Man-Ying Suet yang tampil lebih tenang dan konsisten dalam mengawal tempo perlawanan.
Tang Jie-Ee Wei sebelum ini dicanang mampu menamatkan badi suku akhir selepas dua tahun berturut-turut terkandas di pusingan kedua Terbuka Perancis. – UTUSAN






