Malaysia Oversight

Berbeza Itu fitrah, berpecah Itu pilihan

By MkiniBM in September 16, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


Dalam kehidupan bermasyarakat, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia sebahagian daripada fitrah manusia. Setiap insan lahir dengan latar belakang, pengalaman, ilmu dan kecenderungan yang berbeza. Justeru, kepelbagaian pendapat adalah lumrah yang harus diraikan, bukan ditakuti.

Namun, apabila perbezaan itu disalah urus, ia boleh bertukar menjadi perpecahan yang meruntuhkan persaudaraan.

Ungkapan bahawa “berbeza itu fitrah; berpecah itu pilihan” membawa makna mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa perbezaan adalah ketentuan Ilahi, manakala berpecah pula lahir daripada sikap manusia yang enggan berlapang dada, tidak menghormati, palagi tidak mahu mencari titik pertemuan.

Maka matlamat kita seharusnya jelas: mencari kebenaran, memelihara ukhuwah, dan mengukuhkan cinta tanah air (hubbul watan).

Perbezaan: Rahmat dalam Kepelbagaian

sendiri mengiktiraf kepelbagaian sebagai tanda kekuasaan Allah SWT. Firman-Nya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi, serta berlain-lainan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

(Surah Ar-Rum: 22)

Ayat ini menegaskan bahawa perbezaan adalah sebahagian daripada kehendak Ilahi. Dalam konteks masyarakat, perbezaan pandangan politik, mazhab, budaya atau pendekatan adalah lumrah. Apa yang penting adalah bagaimana kita mengurusnya. Jika diurus dengan hikmah, ia menjadi rahmat yang memperkayakan masyarakat.

74c89073448eb26e597173f94643c639

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra)

Hadis ini sering dijadikan sandaran bahawa ‘khilaf’ adalah ruang untuk ‘ijtihad’ dan kreativiti dalam mencari kebenaran.

Bahaya perpecahan: Luka yang dicipta sendiri

Namun, sejarah membuktikan bahawa perbezaan yang tidak diurus dengan adab boleh membawa kepada perpecahan. Firman Allah SWT memberi amaran:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah datang kepada mereka keterangan yang jelas. Mereka itulah yang mendapat azab yang besar.” (Surah Ali ‘Imran: 105)

Ayat ini menegaskan bahawa perpecahan bukan kerana kurangnya kebenaran, tetapi kerana ego dan kedegilan manusia. Sejarah Perang Uhud menjadi contoh.

Ketika Rasulullah SAW telah mengatur strategi, segelintir pemanah meninggalkan posisi kerana perbezaan pandangan tentang ghanimah (harta rampasan perang).

Akibatnya, kemenangan yang hampir dicapai bertukar menjadi ujian yang menyakitkan hingga ke hari ini.

Begitulah juga umat kini. Kita sering terjebak dalam perpecahan bukan kerana tiada kebenaran, tetapi kerana sikap tidak mahu berlapang dada dan lebih mementingkan kelompok berbanding ummah.

Mencari kebenaran: Jalan tengah yang adil

Matlamat pertama daripada ungkapan ini ialah mencari kebenaran. Dalam Islam, kebenaran bukan monopoli individu atau kelompok tertentu, tetapi harus dicari bersama dengan hati yang ikhlas. Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah: ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu; maka sesiapa yang mahu beriman, biarlah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur, biarlah ia kufur.’”

(Surah al-Kahf: 29)

Kebenaran adalah milik Allah, manusia hanya dituntut untuk mencarinya dengan ilmu, hujah, dan adab. Perbezaan seharusnya dijadikan jalan menuju kebenaran, bukan alasan untuk memusuhi.

cbb3a46f56d0f4ce7f64dc60b9214891

Memelihara Ukhuwah: Tali yang Mengikat Umat

Matlamat kedua ialah memelihara ukhuwah. Ukhuwah Islamiah adalah tali yang menyatukan umat. Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya (tanpa pertolongan).”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ukhuwah bukan sekadar slogan, tetapi asas kelangsungan umat. Dalam sirah, Piagam Madinah menjadi contoh bagaimana Rasulullah SAW mengurus masyarakat yang berbeza agama, kaum dan budaya dengan asas ukhuwah dan perjanjian damai. Perbezaan tidak menghalang perpaduan, malah memperkukuhnya kerana semua pihak bersepakat menjaga kota Madinah sebagai tanah air bersama.

Cinta tanah air sebahagian daripada iman

Matlamat ketiga ialah mengukuhkan hubbul watan. Cinta tanah air bukan sekadar rasa emosional, tetapi sebahagian daripada iman. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah SAW terpaksa meninggalkan Makkah untuk berhijrah, baginda berkata dengan penuh sebak:

“Demi Allah, engkau adalah bumi Allah yang paling baik dan paling aku cintai. Jika bukan kerana kaumku mengusirku darimu, nescaya aku tidak akan keluar.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 3926 – hadis hasan sahih)

56d36e277a9380f5de0e99b5a32ce3dd

Ungkapan ini membuktikan bahawa cinta tanah air adalah fitrah yang diiktiraf Islam.

Maka, perbezaan pandangan politik dan budaya tidak seharusnya melemahkan semangat kebangsaan. Sebaliknya, ia perlu menguatkan tekad untuk menjaga keamanan, kemerdekaan dan kesejahteraan negara.

Jalan hikmah di tengah perbezaan

Perbezaan adalah anugerah, perpecahan adalah pilihan yang salah. Jalan yang benar ialah menjadikan perbezaan sebagai ruang untuk mencari kebenaran, memperkukuh persaudaraan, dan menguatkan kecintaan kepada tanah air. Inilah tuntutan agama dan amanah sejarah.

Jika umat Islam dan rakyat Malaysia memilih jalan hikmah, maka kita akan menjadi bangsa yang kuat walaupun berbeza pandangan. Sebaliknya, jika kita memilih untuk berpecah, maka kita hanya mengulangi kesilapan umat terdahulu yang diingatkan al- Quran.

Maka benarlah ungkapan itu: Berbeza itu fitrah; berpecah itu pilihan. Matlamat kita: cari kebenaran, pelihara ukhuwwah, kukuhkan hubbul watan.


ATRIZA UMAR ialah calon ijazah kedoktoran dalam bidang kepimpinan wanita.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link