PARLIMEN | Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dikritik pembangkang susulan laporannya mendakwa beras tempatan kurang mendapat sambutan daripada masyarakat di tengah-tengah naratif kos sara hidup yang membebankan.
Bercakap di Dewan Rakyat, ketua pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta kerajaan memeriksa kualiti beras tempatan yang terdapat di pasaran.
“Saya terkejut timbalan menteri menjaga kos sara hidup beritahu beras tempatan tak laku. Masyaallah, saya nak bagitahu timbalan menteri, apakah timbalan menteri mendengar keluhan rakyat, apakah timbalan menteri tahu kualiti beras dijual, apakah timbalan menteri faham bahawa rakyat juga tahu kualiti beras?
“Jangan cakap dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kepentingan rakyat yang di bawah. Tindak-tanduk begini yang menyebabkan rakyat kecewa,” katanya dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mengatakan rakyat tidak mampu membeli beras tempatan kerana hanya djual dalam kampit 10 kg sahaja.
“Berkenaan beras tempatan yang dikatakan tak ada orang beli, di Bagan Serai pelik juga, kerana beras tempatan dijual dalam kampit 10 kg sahaja.
“Beras 5 kg dijual dengan harga import. Sedangkan rakyat nak beli kampit 5 kg sahaja,” kata Idris.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata beras dalam kampit 10 kg dijual dengan harga murah kerana peratus beras hancur yang tinggi.
“Menteri kena periksa balik kualiti beras. Kampit 5 kg dijual dengan harga mahal kerana peratusan beras hancur dalam itu rendah.
“Dalam kampit 10 kg ada peratus (beras hancur) yang banyak. Sebab itu dijual murah. Sebab itu saya minta kerajaan periksa dulu, sebelum nak cakap,” katanya.
Pada 31 Julai, Fuziah memberitahu parlimen bahawa naratif dimainkan untuk menggambarkan kenaikan harga barang membebankan rakyat.
Sedangkan, katanya, beras tempatan tidak laku di pasaran.
“Sebelum ini rakyat bising berkenaan ketiadaan beras tempatan, bising betul-betul seolah-olah kerajaan gagal menyediakan beras tempatan.
“Tetapi apabila beras tempatan itu penuh di pasaraya, tak laku. Jualan Rahmah pun tak laku beras tempatan,” katanya.
*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar