Malaysia Oversight

Beras Pahang, beras prebiotik pertama negara

By Utusan in August 16, 2025 – Reading time 2 minute
Beras Pahang, beras prebiotik pertama negara


TEMERLOH: Pahang melakar sejarah apabila muncul negeri pertama di Malaysia menghasilkan beras prebiotik yang diberi nama Beras Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beras itu berbeza dengan beras tempatan lain kerana memiliki kadar gula yang rendah, sekali gus sesuai dimakan pengidap diabetes.

“Beras Pahang ini istimewa, ia beras prebiotik, rendah gula dan baik untuk kesihatan usus serta penghadaman. Buat masa ini, jualan diutamakan untuk pasaran Pahang sebelum diperluaskan ke negeri lain,” katanya selepas merasmikan Mini Maha Pahang 2025 di Dataran Temerloh di sini.

Beras Pahang yang ditanam di jelapang padi Ganchong, Pekan, dekat sini itu difahamkan lebih wangi, lembut dan enak, selain turut diperkaya dengan nutrisi semula jadi.

Harga jualan beras tersebut pada Mini Maha Pahang 2025 kali ini ialah RM8 sekilogram.

Mini Maha Pahang tahun ini bukan sekadar pameran pertanian biasa, sebaliknya platform terbesar menghimpunkan hasil bumi, pemain industri, agensi , syarikat swasta, penyelidik serta generasi muda.

Matlamatnya bagi memperkenalkan teknologi terkini, mempromosikan produk tempatan, mengukuhkan jaringan industri dan menarik minat belia terhadap sektor agro makanan sebagai kerjaya masa depan.

Sepanjang empat hari penganjuran bermula 14 Ogos lalu, sebanyak 60 acara dianjurkan dengan penglibatan lebih 30 jabatan dan agensi.

Antara pengisian utama ialah kenduri buah dengan agihan durian percuma kepada 500 pengunjung terawal hari ini, pelancaran produk Pahang Best dan Beras Pahang, pertandingan memancing baung ekor merah serta pameran ternakan premium seperti lembu Sado dan Wagyu. – UTUSAN





Source link