BELANJAWAN 2026 | Kerajaan disaran membentangkan kertas putih reformasi sistem bantuan kebajikan dan subsidi di Dewan Rakyat pada tahun depan, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.
Dalam kenyataan mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Wan Saiful berkata pembentangan kertas putih itu penting untuk memastikan penyasaran subsidi benar-benar berkesan dan menyeluruh.
“Perkara yang paling menarik perhatian saya ialah penegasan kerajaan mengenai penyasaran subsidi dan bantuan kebajikan. Negara kita selama ini menanggung kos subsidi yang begitu tinggi dan jika berterusan ia sudah pasti tidak lestari. Setakat ini, penyasaran subsidi dikatakan boleh menjimatkan sehingga RM15.5 bilion.
“Untuk memastikan penyasaran subsidi benar-benar berkesan, saya harap melalui Belanjawan 2026 kerajaan akan mengambil peluang untuk menjalankan semakan menyeluruh mekanisme bantuan kebajikan dan subsidi,” katanya.
Wan Saiful berkata dalam kertas putih tersebut, dia berharap konsep pemberian bantuan dan subsidi secara tunai terus (cash transfer) kepada individu yang layak diperluas.
“Sistem ini telah mula kita amalkan sejak 2012 dan ia memberi manfaat terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah. Sistem ini wajar diperluas,” katanya.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu itu kriteria penyasaran subsidi mestilah diperinci supaya mereka yang memerlukan dari kalangan B40 dan M40 akan mendapat jumlah yang lebih wajar kerana kos sara hidup dijangka akan terus meningkat.
Dia juga mencadangkan kerajaan meneliti bagaimana United Kingdom menjalankan kajian mendalam sehingga melahirkan reformasi sistem kebajikan yang menyeluruh bermula tahun 2010 di bawah menteri yang bertanggungjawab ketika itu, Iain Duncan Smith.
“Kajian yang dipelopori oleh Duncan Smith tersebut membawa kepada pengenalan “Universal Credit” yang menyatukan mekanisme subsidi dan bantuan yang pelbagai pada masa itu kepada satu mekanisme terangkum.
“Hasilnya, dengan satu permohonan sahaja, rakyat akan dapat mengakses semua bentuk bantuan yang layak mereka terima daripada pelbagai agensi.
“Ini berbeza dengan situasi di negara kita hari ini, yang mana rakyat perlu memanjat tangga agensi yang berbeza-beza kerana setiap agensi mempunyai proses dan birokrasi tersendiri,” katanya.






