Malaysia Oversight

Bendera terbalik: Tutup klinik 30 hari hukuman ‘keterlaluan’

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 2 minute
Bendera terbalik: Tutup klinik 30 hari hukuman ‘keterlaluan’


Pemuda DAP mengkritik Majlis Perbandaran Pontian (MPPN) kerana mengarahkan sebuah klinik pergigian ditutup selama 30 hari selepas mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, dengan menyifatkan hukuman itu sebagai keterlaluan dan tidak setimpal dengan kesalahan.

Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Eksekutif sayap itu menegaskan walaupun semua premis perniagaan mesti mengelakkan kesilapan sebegitu, pihak berkuasa tidak sepatutnya melampau dalam menghukum.

Tindakan MPPN yang melampaui kuasa dengan mengarahkan klinik untuk ditutup selama 30 hari telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola tempatan. Oleh itu, Pemuda DAP menggesa Johor segera mengarahkan MPPN untuk menarik balik arahan tersebut.

“Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang telah membuat janji temu, termasuk kesemua yang telah mengaturkan untuk membuat pembedahan dan sebagainya terpaksa ditangguhkan tarikhnya atau mencari doktor lain.

Segala keputusan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya mempertimbangkan kesan kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti polis moral,” kata Pemuda DAP.

Menurut Sinar Harian semalam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian Abdul Azim Shamsuddin yang berkata notis penutupan dikeluarkan selepas semakan mendapati premis itu melanggar Undang-Undang Kecil Perlesenan Perniagaan dan Perdagangan 2019 majlis itu, termasuk keperluan untuk memasang bendera negara dan negeri dengan betul.

Insiden itu terdedah selepas video berdurasi 33 saat tular menunjukkan Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di tingkat dua sebuah lot kedai tiga tingkat, manakala bendera negeri Johor dipamerkan dengan betul di sebelahnya.

Klip itu juga menunjukkan beberapa orang awam dan pegawai polis berkumpul di luar premis. Polis telah melancarkan siasatan.

‘Tak wajar tambah keresahan’

Mengulas lanjut, Pemuda DAP berkata keputusan menutup premis tanpa pertimbangan budi bicara yang munasabah bercanggah dengan prinsip kesepadanan dalam menjatuhkan hukuman, dan pihak berkuasa tidak seharusnya menggunakan pendekatan “satu penyelesaian untuk semua” yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Ia turut menzahirkan kebimbangan terhadap amalan dwistandard dalam penguatkuasaan hukuman bagi isu tersebut.

Lebih membimbangkan lagi adalah amalan dwipiawaian dalam isu bendera, yakni apabila kesilapan serupa melibatkan Kementerian Pendidikan, Terengganu dan Pemuda Terengganu, kesemuanya tidak dikenakan tindakan berat, tetapi peniaga kecil pula dihukum berat ataupun diaibkan oleh golongan ekstremis.

“Amalan sedemikian telah mewujudkan persepsi buruk dan semakin menghakis kepercayaan awam serta meningkatkan ketidakpuashatian rakyat.

“Pendekatan melalui paksaan hanya akan menghasilkan kepatuhan palsu dan penolakan rakyat terhadap perihal yang serius. PBT tidak sepatutnya menambahkan keresahan masyarakat dalam isu bendera. PBT juga tidak wajar menyalahgunakan kuasa dalam isu ini,” katanya lagi.

Semalam, pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, turut menyuarakan rasa kesal terhadap arahan penutupan klinik berkenaan, menyifatkan tindakan itu sebagai “keterlaluan”.

Pada 12 Ogos lalu, Ketua Pemuda Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera memohon maaf berhubung poster yang memaparkan reka bentuk Jalur Gemilang yang salah. 

Poster yang dimuat naik di Facebook itu memaparkan Jalur Gemilang hanya dengan 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.



Source link