Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah premis perniagaan, Taman Bertam Perdana, Kepala Batas.
Dalam satu kenyataan, Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan menghina maruah negara.
“Mengibarkannya secara terbalik adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi ketika kita sedang menyambut bulan kemerdekaan.
“Cukup-cukuplah dengan alasan “tidak sengaja” atau “silap pasang”. Kita memerlukan kesedaran, bukan alasan.
“Semua pemilik premis di Pulau Pinang memastikan bendera negara dikibarkan dengan betul, mengikut protokol dan dengan penuh rasa hormat,” katanya.

Dia turut menuntut siasatan serta-merta oleh pihak berkuasa, selain menggesa pemilik premis tampil mohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Jika terbukti disengajakan, ambil tindakan undang-undang tanpa kompromi,” tambahnya.
Terdahulu, pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang menjelaskan dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi semasa menggantung bendera kebangsaan dan tidak menyedari bendera tersebut dalam keadaan terbalik.
Pemilik kedai itu memohon maaf dan memaklumkan telah pergi ke Balai Polis Kepala Batas pada jam 1.30 tengah hari untuk membuat laporan bagi mengambil tanggungjawab, menjelaskan fakta dan memberikan penerangan.
Insiden terbaru itu tular di media sosial selepas sebuah akaun Facebook menggunakan nama “Nazirul Hafiz” memuat naik video berdurasi 20 saat mengenai kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, semalam berkata siasatan sedang dijalankan, termasuk merekodkan kenyataan pengadu dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.