BALING: Seorang warga emas lelaki maut dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dicuri ketika dalam perjalanan ke Masjid Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, mangsa, Jahaya Khamis, 63, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ke masjid berhampiran rumahnya untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.
Difahamkan, kereta Proton Wira itu dipercayai dicuri daripada pemilik asal yang beralamat di Sik, namun ditinggalkan di tempat kejadian setelah kemalangan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md. Ali berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Baling atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Shafina Seeni Ibramsa di talian 016-3616786,” katanya.
Sementara itu anak tiri mangsa, Abdul Rashid Mohd. Nayan, 36, berharap agar polis dapat menangkap mereka yang melanggar bapanya segera dan menerima hukuman yang setimpal dengan kejadian menimpa arwah.
“Saya difahamkan kereta itu adalah kereta curi dan kemungkinan digunakan untuk mencuri lembu atau kambing berdasarkan peralatan yang ditinggalkan dalam kereta itu seperti sumpit haiwan.
“Disebabkan telah melanggar ayah, pemandu dan mungkin beberapa orang lagi kawannya telah melarikan diri dan meninggalkan kereta tersebut di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil selepas solat Asar. – UTUSAN