Malaysia Oversight

Belum terlewat untuk FAM kembali ke pangkal jalan

By MkiniBM in November 9, 2025 – Reading time 4 minute
Belum terlewat untuk FAM kembali ke pangkal jalan


ULASAN SUKAN | Pada saat-saat sebegini, kesimpulan yang kita boleh buat bagi menghuraikan nasib ditanggung FAM – dan maruah kita semua – adalah ibarat pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Hanya satu perkataan sudah cukup untuk menceritakan kesalahan terbesar ditempah oleh badan induk itu pada alaf baru ini – penipuan.

Perihal tujuh pemain warisan baru yang menyarung jersi skuad bola sepak Malaysia kini dalam ‘pembuangan’ kerana digantung setahun. Skandal ini juga mustahil dapat dipulihkan.

Menghairankan, sudah dua kali didakwa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), namun FAM masih bertegas mahu mencari ‘keadilan’ dan melambatkan masa mencari ruang untuk mengubah keputusan itu.

Bukankah kita juga hanya membazirkan wang dan masa ketika bukti kukuh sudah pun menunjukkan FAM bersalah – sekaligus keputusan asal kekal?

Peminat dan pembayar cukai juga sudah mula bimbang mengenai kos yang bakal ditanggung untuk membiayai perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), jika ia bakal berlaku.

Untuk mengelak spekulasi atau andaian, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pula pantas menegaskan bahawa peruntukan sebanyak RM15 juta hanya boleh digunakan sebagai persiapan ke arah saingan kelayakan Piala Asia.

Dia juga percaya penasihat skuad kebangsaan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan menanggung segala kos perbicaraan itu di CAS.

Lupa elemen penting

Sebenarnya niat FAM bukan tidak bagus, cuma nampaknya para pegawai tinggi badan itu ‘kekaburan’ kepada hala tuju yang perlu diambil ketika ini.

Nampaknya dalam ghairah mahu ‘melawan’ itu mereka lupa kepada prinsip dan asas bola sepak. Beginilah keadaannya apabila kita melawan hukum.

Terdesak mahu mengejar kejayaan pantas juga membuat kita boleh mengandaikan yang FAM sedang mengabaikan makna pembugaran dan proses di peringkat akar umbi.

FAM juga lupa kepada falsafah pembangunan bola sepak. FAM hampir lupa kepada segala fakta yang benar dan seperti memilih jalan salah tanpa disedari atau pun tidak.

Mereka barangkali menyangka bola sepak boleh dicanang dengan sifat pintar sambil melupakan hakikat perlunya ada daya saing tinggi, sifat gigih dan ketekalan di pentas antarabangsa.

FAM lupa kepada elemen penting seperti itu. Mereka lupa ia adalah inti pati kejayaan sebenar untuk merealisasikan impian besar membentuk skuad negara yang mantap.

Akhirnya cerita bola sepak negara juga lebih mirip kepada angan-angan Mat Jenin.

Ini seterusnya membawa persoalan apakah pengurusan tertinggi bola sepak negara lebih kerap bermimpi di siang hari sejak beberapa tahun lalu daripada menghadapi realiti sebenarnya?

7e1a5b97a88207b883b5cec0f25dcc43

Pelbagai gambaran kini terbayang selepas Fifa mengekalkan hukuman denda ke atas FAM di Zurich, baru-baru ini.

Mungkin juga buat pertama kali kita berada dalam situasi amat memalukan ketika maruah negara nampak sudah tergadai. Segala-galanya gara-gara tersalah langkah.

Sifat ego sebagai antara pengasas bola sepak di rantau Asia Tenggara yang dihormati juga boleh menjadi antara sebab kenapa FAM memilih jalan pintas untuk mencipta skrip yang nampak mengagumkan – sebelum ia berubah menjadi murahan.

Pada umumnya kepercayaan masyarakat kepada sistem bola sepak negara sudah hilang.

Mula buat perbandingan

Jika melihat kepada keputusan saingan kelayakan Piala Asia 2027 sejak 10 Jun lalu kita belum kalah selepas empat perlawanan pertama dan sedang mendahului Kumpulan F.

Menyedihkan apabila satu sejarah baru yang bermula pada tarikh berkenaan merupakan detik awal kepada tercalarnya maruah bola sepak dan maruah negara kita.

Selepas Harimau Malaya membahan Vietnam 4-0 dengan tenaga tujuh ‘pemain warisan’ itu, skuad negara nampak bertukar wajah. Komuniti bola sepak menyangka kekurangan yang digalas selama ini sudah ada jawapannya.

Pengkritik dan pemerhati juga mula membicarakan topik baru – betapa tenaga tempatan dan pemain naturalisasi bukan ramuan yang memadai untuk melonjakkan Harimau Malaya ke tahap tertinggi Asia.

Kita semua dibuai mimpi indah sejak saat itu. Tiada siapa pun sedar apa yang sedang berlaku – kecuali mungkin FAM dan beberapa supremo saja. Atau mereka pun tidak tahu.

Mimpi bermula. Ramai beranggapan skuad negara mampu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

3477889dde163060411307dfd5a0138a

Lantas, perbandingan mula dibuat dengan mengenang kegemilangan era lalu, termasuk kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Untuk menambahkan keghairahan itu, pemerhati juga mengaitkan kehebatan skuad negara layak dua kali ke temasya Sukan Olimpik pada 1972 (Munich) dan 1980 (Moscow).

Namun, hukuman oleh Fifa baru-baru ini melenyapkan segala harapan. Daripada impian indah bersama kini ia bertukar menjadi igauan yang bukan saja menerbitkan rasa menakutkan, malah aib, pada setiap hari.

Belum terlambat lagi untuk FAM kembali ke pangkal jalan. Mohon maaf atas segala kesalahan, lalu bergerak ke hadapan dengan rasa penuh kesal dan insaf agar maruah bola sepak tanah air dipulihkan.

Tak ada salahnya untuk kita kembali kepada asas bola sepak dan mengambil satu langkah ke belakang.

Bantu skuad negara perlahan-lahan untuk kembali berjaya atas merit. Rakyat pun akan terima semula sifat insaf itu.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link