Jurang dalam sukatan pendidikan seksual di Malaysia perlu ditangani segera bagi membendung gejala sosial dalam kalangan belia, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata data menunjukkan kebanyakan remaja mula aktif secara seksual sebelum usia 14 tahun namun pendidikan seksual di sekolah hanya diberikan kepada pelajar berusia 15 tahun.
Menurut Hannah, perkara berkenaan telah diambil maklum oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Inilah jurang yang perlu kita tangani,” katanya selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat bersama pemimpin belia pelbagai agama bagi menangani masalah sosial di Wisma KBS, di Putrajaya hari ini.
Selain itu, Hannah berkata pendekatan konvensional dalam menangani masalah sosial tidak lagi berkesan.
“Kita perlu berfikir di luar kotak dalam menangani masalah sosial belia kerana isu-isu ini semakin canggih, kalau kita ambil pendekatan lama, memang kita tak akan capai hasil yang kita mahukan.
“Menyedari perkara itu, sekarang kita akan wujudkan banyak kandungan dalam talian dan guna algoritma bagi mencapai kumpulan sasaran kita,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata penyertaan belia dalam kelab dan persatuan semakin berkurangan dengan hanya satu juta daripada mereka bergiat aktif.
“Ini bermaksud mereka (belia) tidak mahu lagi program aktiviti fizikal dan lebih suka secara dalam talian…jadi kita perlu tahu bagaimana untuk mengoptimumkannya dan pada masa sama mengambil peluang daripada keadaan itu,” katanya.
Mengenai perbincangan hari ini, Ahli Parlimen Segambut itu berkata ia diadakan bagi membolehkan golongan belia membina jaringan dan mengadakan perbincangan berkaitan masalah sosial bersama pertubuhan keagamaan serta pemimpin komuniti.
Beliau berkata pelbagai isu dan langkah intervensi telah dikupas antaranya persetujuan bahawa belia yang terjebak dalam masalah sosial perlu dibantu melalui langkah rehabilitasi, bukannya diambil tindakan undang-undang.
“Kita mahukan golongan belia tidak dilihat sebagai penjenayah kerana mereka masih muda. Mereka layak mendapat peluang kedua, berhak menerima pemulihan dan perlu tahu di mana untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Perbincangan hari ini, melibatkan wakil daripada 40 badan bukan kerajaan, pertubuhan belia, institusi keagamaan serta pemimpin komuniti.
– Bernama