Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa pembelian pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah keputusan korporat yang dibiayai oleh dana syarikat sendiri, bukan wang rakyat.
“Pembelian pesawat ini sebenarnya adalah keputusan perniagaan strategik oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukan duit cukai rakyat,” tegasnya dalam satu hantaran di platform X.
MAG sebelum ini mengumumkan pembelian 30 pesawat Boeing baru bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
Pemerolehan 30 pesawat baru secara terus daripada Boeing itu juga dikatakan sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan pesawatnya.
Pesanan itu termasuk 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM LEAP-1B dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat 737.
Tempahan untuk ratusan jet Boeing diumumkan menerusi perjanjian dengan Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Kemboja, Bangladesh dan negara lain sebagai sebahagian daripada rundingan untuk mengurangkan tarif AS.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata rancangan pembelian tersebut juga telah diumumkan seawal Mac 2025 lagi, sebelum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif lagi.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif?”
“Apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.
“Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke US berbanding membeli barang dari US, jadi US cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25 peratus.

“Kita ambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing ini. Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, penekanan Malaysia terhadap pembelian korporat bernilai tinggi dari AS termasuk perjanjian dengan Boeing telah membantu membentuk rundingan negara dalam isu tarif.
“Pendekatan ini menunjukkan kepada AS bahawa kita juga pembeli besar produk mereka, dan akhirnya meyakinkan mereka untuk menurunkan tarif eksport kita dari 25 peratus kepada 19 peratus.
“Strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara,” katanya.
AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, namun kadar itu dikurangkan kepada 19 peratus selepas beberapa pusingan rundingan.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa MAG telah membuat tempahan bagi 30 pesawat Boeing 737, yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030.