PARLIMEN | Syarikat yang menawarkan skim “beli sekarang bayar kemudian” (BNPL) di Malaysia akan dikehendaki menyemak keupayaan hutang setiap pelanggan sebelum meluluskan kemudahan kredit masing-masing,
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata keperluan itu akan dikenakan mengikut Rang Undang-undang Kredit Pengguna yang diluluskan oleh Dewan Rakyat petang ini.
Langkah itu, kata Lim, diambil bagi memastikan pengguna kredit mampu membayar balik jumlah yang dipinjam tanpa menghadapi tekanan kewangan yang serius sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam perangkap hutang.
“Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan memastikan pematuhan industri BNPL terhadap keperluan melaksanakan penilaian kemampuan berhutang tersebut,” katanya semasa ucapan penggulungan.
Lim berkata penilaian kredit itu bukan untuk menghalang pengguna daripada mendapat akses kepada kemudahan kredit yang ditawarkan syarikat terbabit.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Tanjong itu, ia bagi memastikan penyedia kredit tidak mengeluarkan pinjaman sewenang-wenangnya dan hanya membenarkan kredit pada jumlah yang sesuai dengan kemampuan kewangan pelanggan.
Katanya situasi semasa menunjukkan kebanyakan pengguna BNPL hanya mengambil kredit dalam jumlah kecil yang tidak melepasi ambang yang boleh menyebabkan mereka berisiko muflis.