Malaysia Oversight

Belanjawan Kedah RM1.33 bilion, defisit RM9.9 juta

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 1 minute
Belanjawan Kedah RM1.33 bilion, defisit RM9.9 juta


Kedah hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.33 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri berkenaan, dengan defisit dianggarkan pada 11.81 peratus atau RM99 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Md Nor berkata peruntukan itu melibatkan perbelanjaan mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

“Mengambil kira anggaran hasil, peruntukan perbelanjaan mengurus, peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, defisit 2026 dianggarkan sebanyak RM99 juta.

“Bajet negeri Kedah 2026 ialah bajet tahun pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan masih meneruskan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Alor Setar hari ini.

Muhammad berkata bagi tahun hadapan, negeri menganggarkan hasil sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran 2025.

Beliau berkata anggaran hasil kutipan pada 2026 akan dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya hasil tanah sebanyak RM554.81 juta, pelbagai hasil (RM232.88 juta), hasil hutan (RM33 juta) dan hasil daerah (RM17.31 juta).

“Peruntukan perbelanjaan mengurus 2026 sebanyak RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 peratus. Daripada jumlah ini, RM91.4 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

“Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan bagi maksud perbelanjaan tanggungan berjumlah RM87.33 juta dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM849.67 juta,” katanya.

Bernama



Source link