Malaysia Oversight

Belanjawan Johor 2026 manifestasi kerajaan negeri tanpa pinggirkan rakyat

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Belanjawan Johor 2026 manifestasi kerajaan negeri tanpa pinggirkan rakyat


SEGAMAT: Pengumuman Belanjawan Johor 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, disifatkan sebagai manifestasi jelas kesungguhan negeri memacu kemajuan Johor di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Ketua Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, belanjawan berkenaan membuktikan iltizam pentadbiran negeri memastikan kemajuan dicapai secara inklusif tanpa meninggalkan mana-mana golongan rakyat.

Menurut beliau, segala perincian yang diumumkan selaras dengan mantra ‘Maju Johor’, yang menekankan pembangunan menyeluruh serta agihan manfaat ekonomi secara adil.

“Bajet lebihan ini menjadi bukti kerja keras yang dibuat oleh Negeri. Jadi saya menyangkal mana-mana pihak yang menuduh bahawa rakyat tidak merasai manfaatnya,” katanya selepas Majlis Apresiasi SMK Dato’ Bentara Dalam, di sini hari ini.

Terdahulu, Blok Pengimbang Perikatan Nasional (PN) Johor mempersoalkan sejauh mana Belanjawan Johor 2026 mampu memberi manfaat kepada rakyat, meskipun negeri mengumumkan belanjawan surplus berjumlah RM2.55 bilion.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, walaupun Johor mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.4 peratus, hakikatnya ramai rakyat negeri itu masih berdepan tekanan kos sara hidup dan tidak merasai limpahan hasil kekayaan negeri.

Dalam hal itu, Bastien berkata, pengumuman kerajaan semalam turut menyaksikan peningkatan jumlah penerima serta peluasan kelompok yang layak menerima Bantuan Kasih Johor, sekali gus mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negeri.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri menggubal belanjawan lebihan yang memanfaatkan rakyat membuktikan Johor berada di landasan pembangunan yang kukuh dan inklusif.

“Saya menyaksikan bahawa Menteri Besar amat prihatin soal jaringan keselamatan sosial rakyat Johor.

“Biarlah kemajuan negeri ini bergerak seiring dengan keadaan dan pendapatan rakyatnya,” katanya.

Semalam, Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion dibentangkan, meningkat daripada RM1.999 bilion diperuntukkan pada 2025 dengan tumpuan kepada usaha menjamin kebajikan, kesejahteraan Bangsa Johor serta mengukuhkan kedudukan fiskal negeri.

Unjuran hasil negeri dianggarkan meningkat kepada RM2.55 bilion, sekali gus menjadikan Johor antara negeri dengan asas kewangan paling kukuh di Malaysia dan melangkaui unjuran awal Belanjawan Johor 2025.

Beliau berkata, Belanjawan Johor 2026 turut mencatat lebihan sebanyak RM4.45 juta susulan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keberkesanan strategi ekonomi negeri. – UTUSAN





Source link