Malaysia Oversight

Belanjawan 2026: Perak harap lebuh raya baharu

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
Belanjawan 2026: Perak harap lebuh raya baharu


IPOH: Perak mengharapkan Pusat mengumumkan projek lebuh raya baharu di negeri ini  dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara diharapkan ialah projek lebuh raya Tanjung Malim-Lumut selain jajaran Lebuh Raya Ipoh Barat (WISE) menghubungkan Gopeng-kuala Kangsar yang bertujuan mengurangkan kesesakan di Terowong Menora Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Katanya, lebuh raya Tanjung Malim-Lumut penting bagi memenuhi keperluan industri Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di kawasan Tanjung Malim yang akan melibatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) oleh Proton dan syarikat auomotif , BYD.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 ada dinyatakan beberapa projek tersebut. Kita juga sudah bentangkan (kepada Pusat). Diharapkan dapat disebut kali ini (Belanjawan).

“Apabila bermula pengeluaran EV di Tanjung Malim, hendak dieksport melalui mana? Pulau Pinang jauh manakala Pelabuhan Klang sesak. Maka kita hendak majukan pelabuhan di Lumut. Kita memerlukan lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan majlis kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di sini hari ini yang diadakan selama dua hari sejak semalam yang menarik kira-kira 100,000 kehadiran orang ramai.

Saarani berkata, Perak juga mengharapkan pengumuman beberapa lagi laluan baharu selaras dengan keperluan pelbagai projek perindustrian besar yang sedang dilaksanakan.

Sementara itu, di dalam program KAMU 2025 yang dihadirinya, beliau menekankan bahawa kursus pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu dijadikan satu daripada pilihan anak muda.

Jelasnya, sijil TVET seperti bidang kulinari, jurukimpal serta elektrik tidak boleh dianggap sebagai kelas kedua kerana kemahiran tersebut sangat diperlukan dalam pasaran kerja.

negeri menyedari terdapat pemikiran lama yang menganggap sijil TVET sebagai kelas kedua. Itu salah. Ada juga pemegang ijazah yang sukar mendapatkan pekerjaan akhirnya memasuki semula kolej komuniti untuk menyertai kursus TVET. Baru dia boleh menggunakan ilmu yang ada untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau mahu anak muda memilih kursus TVET yang serasi dengan diri masing-masing dan pihaknya bersedia menjemput pelbagai pemain industri untuk mendedahkan prospek kerjaya yang tersedia.

Saarani khuatir sekiranya rakyat tempatan enggan menyertai bidang TVET, kekosongan pekerjaan yang berkaitan TVET akan diisi oleh warga asing. – UTUSAN

 





Source link