Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim petang ini akan membuka lembaran baru dalam usaha memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata menerusi Belanjawan 2025, peruntukan sebanyak RM11.96 bilion yang diterima telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan agenda Desa Madani.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri merangkap menteri kewangan serta kerajaan Madani atas sokongan padu yang telah diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) melalui Belanjawan 2025.
“Setiap sen peruntukan itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif nyata yang memajukan komuniti desa, memperkukuh ekonomi rakyat dan menambah baik infrastruktur luar bandar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata KKDW akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dalam memastikan setiap dasar dan program kerajaan memberikan manfaat langsung kepada rakyat di seluruh negara.
Ahmad Zahid pada masa sama mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mengikuti pembentangan Belanjawan 2026 petang nanti.
“Didoakan agar Belanjawan 2026 terus membawa kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya.
Anwar akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.
Ia merupakan belanjawan keempat dibentangkan oleh kerajaan Madani, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
– Bernama






