Belanjawan 2026 adalah bukti konsolidasi fiskal dapat dilaksanakan tanpa menekan rakyat dan memotong bantuan kepada isi rumah. Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membentangkan satu lagi belanjawan yang menyakinkan.
Salah satu sektor yang menerima perhatian khusus dalam Belanjawan kali ini ialah sektor perikanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, terutamanya kebajikan nelayan. Diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter dikekalkan khusus untuk nelayan, manakala elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan dengan peruntukan RM160 juta diteruskan.
Kerajaan turut menzahirkan keprihatinan kepada kesejahteraan komuniti nelayan melalui inisiatif membaik pulih rumah daif, termasuk 380 rumah nelayan, dengan peruntukan RM500 juta. Ini bukan sekadar program kebajikan, tetapi satu usaha memperkukuh martabat dan kualiti hidup komuniti nelayan.

Antara penerima manfaat utama inisiatif-inisiatif sebegini adalah komuniti nelayan di negeri-negeri bawah pentadbiran pembangkang (SG4) iaitu Kelantan dan Terengganu. Syabas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani atas dasar keadilan sosial yang tidak mendiskriminasi mana-mana negeri dalam mengangkat kebajikan para nelayan.
Di samping itu, langkah Kerajaan Madani untuk memperluas galakan cukai automasi sektor pertanian yang turut merangkumi akuakultur dan perikanan laut dalam juga adalah keputusan yang amat dialu-alukan. Ia menunjukkan fokus kerajaan bukan sahaja kepada kebajikan, tetapi juga kepada reformasi dan daya saing sektor perikanan jangka panjang.
Selain itu, peruntukan RM20 juta disediakan bagi membolehkan nelayan menaik taraf vesel untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tekong dan kru asing, serta menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot demi memastikan kaedah penangkapan yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap sumber marin.
Saya menegaskan bahawa manfaat-manfaat ini sangat penting dalam memantapkan industri perikanan bagi mencapai agenda keterjaminan makanan dan meningkatkan pendapatan nelayan.

Selain daripada sektor perikanan, tumpuan Belanjawan 2026 terhadap kepentingan anak muda amatlah dihargai. Belanjawan kali ini menampilkan pelbagai inisiatif strategik untuk memperkasa anak muda, baik dari segi pendidikan, kemahiran, keusahawanan hingga kebolehpasaran kerja.
\Ini termasuk program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta untuk memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi.
Bagi membantu anak muda dari keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran, kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menyediakan RM4.4 bilion bagi biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.
Selain itu, potongan cukai dua kali disedikan kepada syarikat swasta yang menawarkan biasiswa kepada pelajar berkelayakan sangat signifikan dalam merangkum keterlibatan yang kolektif untuk membangunkan negara ini kerana anak muda adalah tunjangnya.
Bagi merancakkan peluang ekonomi anak muda pula, BSN memperuntukkan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan belia berumur di bawah 30 tahun, manakala SME Corp menyediakan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera. Manakala, Industrial Boot Camp (IBC) MARA diteruskan dengan peruntukkan RM30 juta bagi melatih lebih ramai anak muda dengan jaminan pekerjaan.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 bukan sahaja mengimbangi disiplin fiskal dan perlindungan sosial, tetapi juga memberi nafas baharu kepada sektor perikanan dan generasi muda. Kerajaan Madani di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan bahawa kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat boleh dicapai serentak tanpa memprejudiskan kepentingan mana-man golongan.
MUHAMMAD FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung Amanah dan Pengerusi LKIM.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






